NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakej bantuan ekonomi: 450 program memulihkan ekonomi pandemik – Syahir Sulaiman


Dikatakan setiap 10 tahun dunia akan menghadapi krisis ekonomi, dan biasanya kitaran ekonomi tersebut sudah boleh dijangka.

Namun dalam tempoh 18 bulan ini, dunia berdepan dengan ‘Krisis Berkembar’ – Kesihatan & Ekonomi – yang datangnya tidak dijangka, dan seluruh dunia tidak bersedia.

Banyak pihak telah menulis pelajaran yang dipelajari, dan tidak dipelajari daripada krisis ini. Malah wujud subjek seperti ‘Ekonomi Pandemik’ yang mula dikaji supaya negara dapat belajar daripada kesilapan.

Memetik YB Menteri Kewangan, “Pelbagai episod dan pengajaran telah kita lalui. Peperangan ini bukanlah mudah, musuh tidak statik, malah hari ini berubah menjadi lebih agresif”.

Langkah Malaysia.
Sejumlah 450 program telah dilaksanakan dalam tempoh 15 bulan, melalui 8 pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion beserta pelbagai inisiatif Belanjawan 2021.

Strategi utama adalah melindungi nyawa melalui pengukuhan sistem kesihatan awam, program vaksinasi, inisiatif perlindungan rakyat dan insentif kelangsungan perniagaan. Antara pendekatan utama yang diambil dan kejayaan yang telah dicapai termasuklah:

1. KKM dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 bilion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19, tidak termasuk perolehan vaksin. Kesemua perbelanjaan ini adalah untuk pembelian kit ujian saringan, kos logistik berkaitan vaksin, meningkatkan kapasiti peralatan kesihatan dan perubatan serta wad ICU, dan juga menampung perbelanjaan elaun khas kepada sukarelawan kesihatan.

2. Sejumlah RM150 juta diperuntukkan antaranya untuk menambah seramai lebih 3,500 petugas kesihatan untuk KKM (Pakej PERMAI).

3. Kerajaan juga memperuntukkan RM1.2 bilion bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan 14 ribu pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak, di samping melantik semula secara kontrak lebih 500 petugas kesihatan yang telah bersara wajib.

4. Elaun khas petugas kesihatan di PPV turut diselaras kepada RM600, dengan peruntukan lebih RM300 juta.

5. Kerajaan telah memperkasa usaha di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK bagi memastikan kejayaan proses vaksinasi. Secara puratanya lebih 400 ribu dos telah berjaya dilaksanakan setiap hari. Malah, kita pernah mencecah lebih 550,000 dos sehari.

6. Kerajaan memperuntukkan RM3.9 bilion bagi perolehan bekalan vaksin yang telah ditandatangani kontrak sebanyak 79.9 juta dos. Kita juga amat menghargai sumbangan sebanyak 2.9 juta dos vaksin daripada negara Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom.

7. Program bantuan tunai kepada rakyat yang merupakan antara inisiatif utama dan terbesar. Di bawah pakej PRIHATIN, Kerajaan telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional atau BPN yang berjumlah RM18 bilion yang memanfaatkan 11 juta penerima.

8. BPN adalah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara, dan buat pertama kalinya, Kerajaan turut membantu isi rumah M40.

9. Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) merupakan sebuah inisiatif bantuan tunai dengan kadar antara RM450 hingga RM2,300 untuk 8.4 juta penerima B40

10. Bantuan Khas COVID-19 (BKC) adalah bantuan tunai secara one-off di bawah pakej PEMULIH untuk manfaat 11.4 juta penerima.

11. Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang berjumlah RM500 akan diberikan kepada mana-mana individu yang telah diberhentikan kerja atau tiada lagi caruman di KWSP ataupun PERKESO, sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut sepanjang tahun 2021.

12. Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah lebih RM200 juta untuk program bantuan Bakul Makanan, termasuk bantuan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen, dengan peruntukan RM300 ribu bagi setiap kawasan Parlimen, kerajaan mahupun pembangkang.

13. Bagi golongan belia, Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia yang merupakan sebuah inisiatif kredit e-tunai bernilai RM150 untuk manfaat 2 juta belia.

14. Skim pembiayaan PEMERKASA Belia telah disediakan melalui BSN dengan kadar serendah 3 peratus bagi membolehkan belia mendapatkan pembiayaan sehingga RM50,000 sebagai modal untuk memulakan perniagaan

15. Bagi membantu adik-adik pelajar sepanjang sesi PdPR yang dijalankan, Kerajaan telah melaksanakan inisiatif Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion, di mana lebih 1 juta keluarga telah menerima manfaat sebanyak RM300 subsidi bagi pembelian peranti pintar dan hampir 1.5 juta menerima subsidi pelan data berjumlah RM180.

16. Bagi kumpulan pencari kerja dan pelatih, di bawah Belanjawan 2021, iaitu program PenjanaKerjaya, Kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion untuk inisiatif pengambilan pekerja.

17. Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mencipta 500,000 peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri. Setakat ini, gerak kerja di bawah Majlis Pekerjaan Negara telah menghasilkan hampir 320,000 peluang pekerjaan.

18. Program Short Term Employment Programme (MySTEP) mensasarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak di pelbagai Kementerian dan Agensi serta Syarikat Berkaitan Kerajaan. Setakat 30 Jun 2021, seramai lebih 39,300 orang atau bersamaan 79 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP yang menawarkan gaji antara RM1,400 hingga RM2,000 sebulan.

19. Bagi kumpulan tertentu seperti pemandu bas, pemandu teksi, imam, bilal, pengusaha kantin di sekolah, pengusaha tadika dan pengusaha pusat sukan juga turut menerima bantuan khas secara one-off antara RM500 hingga RM3,000.

20. Kerajaan komited untuk terus memastikan rakyat Malaysia menikmati subsidi bahan api untuk pengisian petrol kenderaan, minyak masak dan tong gas LPG, di samping layak menikmati diskaun bil elektrik selama 3 bulan mulai bil bulan ini sehingga September nanti.

21. Kerajaan juga telah menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi individu M40; serta had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000.

22. Pengeluaran KWSP, program i-Citra dan penangguhan 6 bulan moratorium pinjaman. Bayaran pertama i-Citra akan dikreditkan kepada akaun bank ahli pada Selasa hadapan iaitu mulai 3 Ogos nanti. Ini dijangka memanfaatkan seramai 4 juta ahli KWSP. Manakala bagi moratorium pula, permohonan telahpun dibuka awal bulan ini.

23. Kerajaan juga melaksanakan penangguhan pinjaman pelajaran secara bersasar melibatkan JPA, MARA, PTPK dan PTPTN.

24. Di samping itu, terdapat juga bantuan-bantuan yang terus tersedia melalui Kerajaan Negeri dan Pusat-pusat Zakat Negeri untuk dimanfaatkan rakyat yang memerlukan.

25. Bagi menjamin kelangsungan hidup PKS, Kerajaan telah bersetuju untuk menampung sebahagian gaji pekerja melalui Program Subsidi Upah atau PSU. Program ini telah mendapat sambutan baik dari golongan majikan. Dengan

26. Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM20 bilion untuk PSU, dan setakat ini RM15.6 bilion telah disalurkan untuk memanfaatkan lebih 330 ribu majikan dan menyelamatkan 2.8 juta pekerja daripada kehilangan pekerjaan.

27. Langkah pemulihan PKS turut disokong oleh pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan di bawah PRIHATIN yang bermula dari April sehingga September 2020, disusuli dengan bantuan bayaran balik secara bersasar yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2021 dan PEMULIH

28. Bagi usahawan mikro yang terjejas dengan krisis ekonomi yang melanda negara hari ini. Mereka inilah peniaga kecil aneka juadah, merekalah tukang gunting rambut kita, merekalah yang menjahit pakaian kita. Kerajaan memperuntukkan Geran Khas Prihatin (GKP), iaitu satu geran tunai khas yang diberi secara langsung kepada perusahaan mikro yang layak. keseluruhan GKP yang telah dan akan disalurkan adalah RM6.1 bilion, di mana setiap usahawan mikro yang layak boleh mendapat bantuan sehingga RM6,500.

29. Kerajaan turut menyediakan pembiayaan mikrokredit melalui pelbagai agensi Kerajaan antaranya BSN, TEKUN Nasional dan Agrobank.

30. Bagi memastikan ketelusan perbelanjaan sepanjang krisis pandemik ini, Kumpulan Wang COVID-19 atau KWC-19 telah ditubuhkan di bawah Akta 830, dan diluluskan oleh Parlimen pada tahun lalu.

31. Peruntukan KWC-19 yang dibiayai oleh pinjaman Kerajaan telah digunakan untuk perbelanjaan pakej-pakej bantuan, serta perbelanjaan tambahan bagi menambah baik sektor kesihatan awam dan pelaksanaan PICK.

32. Program-program kebajikan rakyat seperti subsidi upah, GKP, BPN, BPR dan sebagainya disalurkan melalui KWC-19. Setakat 30 Jun 2021, sejumlah RM55 bilion telah dibelanjakan, di mana RM38 bilion dibelanjakan tahun lalu.

33. Kerajaan serius dalam memastikan bantuan-bantuan ini segera sampai kepada rakyat, Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional atau LAKSANA telah ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan, koordinasi dan pemantauan strategik di antara 53 kementerian dan agensi.

34. Proses rundingan dan libat urus telah dilaksanakan untuk berkongsi idea tentang kesemua pakej-pakej bantuan, Belanjawan Negara dan terkini, Pelan Pemulihan Negara. Wakil-wakil dari perniagaan dan industri, pakar-pakar bidang, pihak NGO dan parti politik telah dijemput, merangkumi pelbagai bidang dan latar belakang.

#MenangBersama
#MalaysiaPrihatin
#MalaysiaBerkebajikan

Syahir Sulaiman, 29 Julai 2021, Bangunan Parlimen


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo