Responsive Ad Slot

'Tumpaskan Covid-19 dulu, bukan kerajaan'

0

SHAH ALAM - Ahli politik terutama ahli Parlimen digesa untuk menumpukan segala perhatian mereka dalam usaha membanteras Covid-19 di negara ini berbanding terlibat dalam propaganda politik.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau turut menggesa ahli Parlimen agar tidak terjebak dalam sebarang usaha rampasan kuasa yang kian diperkatakan melalui pengumpulan perakuan berkanun (SD) dalam kalangan mereka.

“Cukup-cukuplah, rakyat sudah letih dengan propaganda politik. Sekarang masanya untuk bersama dengan rakyat, merangka agenda menangani pandemik. Yang perlu kita tumpaskan ialah Covid-19 dan bukannya kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dominic turut meminta ahli Parlimen yang menyokong kerajaan supaya tidak terpedaya dengan konsep muafakat palsu yang dibawa pihak pembangkang.

Menurutnya, matlamat pembangkang hanya satu iaitu politik rampas kuasa.

“Kerajaan sudah mengumumkan fasa-fasa pemulihan. Kementerian-kementerian seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertungkus-lumus dalam meratakan lengkung Covid-19 dan mencapai sasaran imuniti kelompok mengikut jadual.

"Selepas itu kita serahkan kepada rakyat untuk pilih kerajaan. Itulah asas demokrasi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, pembentukan satu jawatankuasa untuk meneliti aspek pembukaan Parlimen menunjukkan kerajaan Pusat menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, langkah itu juga menunjukkan komitmen dan keikhlasan kerajaan Pusat untuk melaksanakan sidang Parlimen dengan segera.

Menurutnya, jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang itu selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita.

"Seperti mana yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan membuka sidang Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

"Tarikh dan masa sudah tentu akan diputuskan setelah segala kerja penilaian selesai untuk memastikan sidang Parlimen berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi menjaga keselamatan wakil rakyat dan pegawai-pegawai terlibat," katanya dalam satu kenyataan berasingan pada Isnin.

Berhubung dengan desakan UMNO untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula Isnin, Timbalan Presiden Gerakan itu berpendapat, segalanya bersandar kepada progres jawatankuasa berkenaan dalam menjalankan penilaian mereka.

"Selain wakil pembangkang, kita percaya wakil UMNO juga merupakan sebahagian wakil kerajaan turut merupakan anggota bagi jawatankuasa itu.

"Kami setuju pembukaan Parlimen amat penting dan mengharapkan persidangan itu dapat diadakan dengan segera bagi membenarkan ahli Parlimen membincangkan hal ehwal rakyat dan isu-isu berhubung pandemik Covid-19," katanya.

Bagaimanapun, katanya, memutuskan rantaian penularan Covid-19 juga penting bagi kerajaan untuk memastikan rakyat dapat kembali kepada kehidupan normal dan ekonomi negara dapat dipulihkan selepas pembukaan semula sempadan negara.

"Usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama. Wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang harus mengetepikan pendirian politik masing-masing," katanya

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/145504/BERITA/Politik/Tumpaskan-Covid-19-dulu-bukan-kerajaan?ref=rss&format=simple&link=link


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo