NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan berjaya stabilkan ekonomi negara



Oleh: Datuk Seri Mustapa Mohamed 

Pengurusan ekonomi negara masa kini amat rumit. Sejak 14 bulan lalu, kita terpaksa bergelut dengan COVID-19.

Kini, negara berhadapan gelombang ketiga lebih mencabar. Setiap hari jumlah jangkitan melebihi 2,000 kes, malah ada kala lebih 4,000 kes.

Cabaran kesihatan dan ekonomi dihadapi kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah dihadapi mana-mana kerajaan sejak merdeka lagi. Pandemik memberi impak kepada semua negara dan mengubah kehidupan manusia seluruh dunia.

Krisis kesihatan ini menyebabkan dua sektor paling terkesan - sektor tidak formal dan pelancongan. Sektor tidak formal kebanyakannya perusahaan mikro dan kecil (PKS). Sektor pelancongan memerlukan masa lama untuk pulih. Namun, kerajaan amat fokus melaksanakan usaha melawan COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Beberapa langkah pantas diambil melalui Kementerian Kewangan dan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) bagi menangani isu ekonomi dengan segera. Majlis Keselamatan Negara (MKN) berperanan penting mengimbangi nyawa dan kehidupan.

MKN juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi. Kabinet seperti biasa bersidang setiap minggu. Kabinet dianggotai BERSATU, UMNO, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Setiap isu besar dalam negara diputuskan Kabinet mewakili pelbagai parti.

Langkah diambil kerajaan sejak Mac tahun lalu menunjukkan hasil. Pakej rangsangan ekonomi dengan jumlah RM325 bilion menstabil, malah beransur-ansur memulihkan ekonomi.

Minggu lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menyusut lebih kecil - 0.5 peratus pada suku pertama tahun ini - didorong peningkatan permintaan dalam negeri dan prestasi eksport mantap, terutama untuk produk elektrik serta elektronik.

Pencapaian ini jauh lebih baik berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020 dan juga pencapaian terbaik sejak suku tahun kedua 2020. Semua sektor ekonomi utama mencatat pencapaian lebih baik, terutama pembuatan.

Beberapa negara rakan dagang utama Malaysia pulih lebih kukuh pada suku pertama tahun ini. Sebagai contoh, China selaku rakan perdagangan terbesar Malaysia, mencatat pertumbuhan ekonomi 18.3 peratus pada suku pertama tahun ini, Amerika Syarikat (0.4 peratus), Singapura (0.2 peratus) dan Eropah mencatat penguncupan lebih kecil pada -1.8 peratus.

Eksport kita melonjak 31 peratus kepada RM104.9 bilion pada Mac lalu, pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 44 bulan.

Kedudukan ekonomi lebih kukuh ini menstabilkan pasaran buruh. Kadar pengangguran mencatatkan penurunan kepada 4.7 peratus pada Mac lalu berbanding 4.8 pada Februari. Jumlah penganggur berkurangan 24,400 orang, iaitu daripada 777,500 pada Februari lalu kepada 753,200 orang.

Bagaimanapun, kerajaan menyedari masalah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa atau 'time-related underemployment' - merujuk individu bekerja kurang 30 jam seminggu. Terdapat 310,500 orang atau dua peratus daripada tenaga buruh pada suku pertama tahun ini dalam kategori berkenaan.

Jika dicampur bilangan penganggur dengan masalah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, ini membabitkan 1.08 juta orang atau 6.8 peratus daripada jumlah tenaga buruh.

Tambahan pula, terdapat 2.09 juta orang atau 37.5 peratus daripada keseluruhan individu berpendidikan tertiari, bekerja tidak sepadan kemahiran. Golongan ini tidak mendapat upah setimpal kelayakan mereka.

Walaupun ekonomi semakin pulih, kerajaan sedar ia belum kembali kepada keadaan sebelum COVID-19. Sebenarnya amat kecil bilangan negara di dunia mencapai status itu sepenuhnya.

Kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan. MPN menyasarkan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan dan latihan tahun ini serta mencapai 30 peratus setakat April lalu.

Berdasarkan trend pencapaian beberapa petunjuk ekonomi utama, ekonomi negara dijangka berkembang lebih kukuh pada suku tahun kedua, terutama dengan asas rendah apabila ekonomi menguncup 17.1 peratus pada suku pertama.

Pemulihan ekonomi ini bagaimanapun amat bergantung setakat mana kita mampu mengawal penularan COVID-19. Sekiranya penularan ini tidak dapat dibendung dengan berkesan, ekonomi negara akan terjejas.

Oleh itu, semua pihak perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. Hanya itu 'kunci' yang ada buat masa ini, sementara menunggu program vaksinasi berjalan sepenuhnya.

Situasi kita hadapi hari ini ialah krisis kesihatan terburuk pernah dihadapi dunia dalam tempoh 100 tahun. Justeru, memeranginya bukan kerja mudah.

Jika tidak kerana lima pakej rangsangan ekonomi, pelaksanaan dasar lain, termasuk diperkenalkan MPN dan pembukaan kembali semua sektor, ekonomi negara akan merudum.

Sekurang-kurangnya dua juta orang tidak ada pekerjaan, lebih banyak syarikat gulung tikar dan mungkin ramai rakyat Malaysia yang tidak dapat makan.

Untuk menyifatkan kerajaan gagal mengurus ekonomi negara adalah tidak berasas. Realitinya kerajaan berjaya menstabilkan ekonomi. Tanda pemulihan telah muncul. Sudah pasti kita tidak sempurna. Itu sebabnya kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

I-Sinar, program subsidi upah, geran untuk perusahaan mikro antara maklum balas konstruktif daripada rakyat diambil kira kerajaan.

Kerajaan terbuka menerima teguran membina demi menjaga nyawa dan kehidupan rakyat. Mustahil untuk kerajaan memuaskan hati semua orang, tetapi kita sudah lakukan yang terbaik.

Kerajaan hari ini menggabungkan parti politik dianggotai beberapa tokoh berpengalaman. Mereka dibantu pegawai pakar dalam pelbagai bidang. Tokoh swasta turut membantu menyumbang buah fikiran.

Sejak COVID-19 melanda negara, mereka memikirkan semasak-masaknya strategi untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara. Pasukan menguruskan ekonomi dan kesihatan negara, adalah yang terbaik.

COVID-19 masih ancaman besar kita, tetapi dengan kerjasama semua pihak dan dengan mematuhi SOP, insya-Allah kita akan memenangi peperangan kesihatan dan ekonomi.

Walaupun hampir semua sektor ekonomi semakin pulih menuju keadaan sebelum COVID-19, sektor pelancongan dan penerbangan dijangka lebih lambat pulih. Senario pasca-COVID-19 akan menyaksikan beberapa perubahan radikal dalam landskap sosio ekonomi.

Pemakaian pelitup muka akan menjadi kebiasaan, ekonomi digital memainkan peranan lebih besar, pekerja dalam beberapa bidang akan beroperasi daripada rumah dan struktur industri pelancongan dijangka berubah.

Kerajaan, sektor swasta dan kita semua perlu berganding bahu tanpa mengira fahaman politik bagi menyediakan asas membolehkan Malaysia beralih kepada landskap sosioekonomi pasca-COVID-19.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo