NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

#Aid4Palestine: Terengganu kumpul RM1.2j dalam tiga hari


KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM1.2 juta berjaya dikumpul dalam tempoh tiga hari menerusi fasa pertama kutipan Tabung #Aid4Palestine di Terengganu setakat Isnin.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, jumlah itu diperoleh hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan orang perseorangan.

"Alhamdulillah sehingga jam 6 petang ini (Isnin) kutipan tabung untuk membantu saudara Islam kita di Palestin telah mencapai dan melebihi sasaran dengan kutipan sebanyak RM1.2 juta.

"Kita masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan bagi fasa pertama kutipan yang akan dikumpul sehingga 30 Mei depan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Nor berkata, beliau berbesar hati kerana usaha murni itu mendapat sambutan dan sokongan memberangsangkan daripada semua pihak.

"Sambutan oleh masyarakat negeri amat membanggakan. Syabas kerana rakyat Terengganu amat prihatin dan menunjukkan solidariti tinggi terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Exco Kerajaan Negeri bersetuju menyumbang sebulan gaji masing-masing untuk disalurkan ke Tabung #Aid4Palestine.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS pula menyumbang sebanyak RM3,000 seorang sebagai komitmen membantu umat Islam di Palestin.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo