Responsive Ad Slot

Apabila Biadap Menggantikan Adab : Apakah Sudah Wujud 'generasi at Taturk' Di Kalangan Anak Bangsa ??




25 APRIL 2021

1. Suatu masa dahulu, peradaban Tanah Melayu diadun, dibentuk, dilakar, dicorak dan diwarnai oleh tangan-tangan mulia golongan alim-ulama sufi, khususnya dari tanah Hijaz. Ramai antara mereka adalah daripada zuriat Rasulullah saw sendiri, merupakan para arif billah yang mempunyai sakhsiah dan peribadi mulia, berketrampilan sosial, bijaksana dan berwibawa, sehingga dalam bimbingan mereka, lahirlah sebuah peradaban Melayu Islam yang unggul, tinggi, mulia dan murni.

2. Peradaban Melayu yang murni luhur ini boleh dihayati, antaranya daripada pengkajian kitab turath yang beribu jumlahnya, banyak membongkar rahsia kekuatan peradaban Melayu, selain khazanah peribahasa Melayu yang merujuk pemikiran, pandangan alam serta ketinggian disiplin kehidupan beragama dan kemuliaan adat budaya masyarakat Melayu tradisional.

3. Antaranya seperti ‘cubit peha kiri, peha kanan terasa’, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat', bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak’, ‘masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau mengaum’, ‘air dicincang takkan putus’, ‘jangan meludah ke langit, muka juga yang basah’ dan banyak lagi. Manakala konsep ‘budiman’ merujuk prinsip bangsa Melayu, sehingga lahirlah ungkapan berkaitan seperti 'orang budiman, 'akal budi', ‘orang berbudi kita berbahasa’, ‘hutang budi dibawa mati..’ dan sebagainya. Di sebalik peribahasa ini sebenarnya terkandung nilai agama Islam khususnya nilai kesufian yang menjadi jatidiri nenek moyang kita.

4. Selain Allah dan Rasul sebagai kecintaan, kepatuhan dan junjungan orang Melayu, bangsa ini juga dididik untuk memuliakan alim-ulama, para sultan, pembesar, pemimpin dan orang-orang tua. Antara penzahiran adabnya adalah dengan memberikan gelaran kemuliaan seperti 'Yang di-Pertuan' bagi seorang Sultan, 'Maulana' untuk seorang ulama, gelaran seperti 'Dato Bendahara' atau 'Dato Temenggung' untuk pembesar. Manakala gelaran kemuliaan juga diberikan kepada orang tua-tua seperti 'pakcik-makcik', 'abang-kakak' dan sebagainya. Diri disebut 'hamba' atau 'fakir'. Malahan untuk mengadap Sultan, dibuat secara bercara; 'sembah mengadap', 'menjunjung duli', berjalan di 'mua' alim-ulama dan orang tua-tua juga perlu beradab dengan membongkok sedikit, dan dianggap biadap untuk bercakap dengan suara meninggi atau mencelah apabila orang tua-tua sedang berbual
5. Begitulah halus, bersopan dan tingginya peradaban bangsa Melayu, berkat ditarbiyah oleh alim-ulama sufi yang merupakan ‘software designer’ bagi peradaban bangsa ini.

6. Sesungguhnya manusia yang beradab akan tahu, mengenali dan mengakui seseorang sesuai dengan martabatnya. Sebagai contoh, dalam masyarakat yang beradab, golongan ulama perlu diletakkan pada martabat tinggi, berbanding orang awam. Raja sebagai Ulil Amri tertinggi sudah tentu martabatnya paling atas. Cendikiawan dan ilmuwan martabatnya adalah lebih tinggi daripada artis atau ahli politik, manakala seorang wanita fasiq tidak seharusnya ditempatkan lebih tinggi daripada seorang muslimat yang solehah. Martabat orang bukan Islam juga tidak boleh didudukan sama tinggi dengan orang Islam, walaupun kita sama sekali tidak menafikan hak kehidupan, kemanusiaan dan keagamaan mereka yang Allah sendiri telah perintah untuk kita laksanakan, dan dalam konteks negara kita, hal ini telahpun dipasakkan di dalam peruntukan Perlembagaan negara.

7. Ringkasnya, konsep kesamarataan dari pandangan alam sekular barat tidak sama dengan ajaran Islam kita. Namun bukanlah bermakna kedudukan mereka yang lebih tinggi itu sehingga tidak boleh ditegor atau dinasihati, Islam sebagai agama syumul mengajar bagaimana cara berhikmah dalam menegor dan menasihati mereka dalam martabat tinggi, siapa yang sepatutnya menegor dan bagaimana pula kaedah menegor. Apakah seorang anak boleh menegor ayah atau ibu secara ' biadap'??

8. Namun, dalam kehidupan masyarakat Melayu moden, unsur-unsur ‘kebiadapan’ telah mula memunculkan wajah hodohnya menggantikan peradaban Melayu tradisional yang murni luhur. Jika kita soroti sejarah, ianya bermula semenjak era campurtangan British yang berhasil mewujudkan golongan penguasa dan birokrasi yang cenderung kepada peradaban Barat, sesetengah mereka ke sekolah-sekolah yang diselia oleh paderi, contohnya di Singapura, ada yang belajar di negara Eropah, selanjutnya diwujudkan pula sekolah-sekolah kebangsaan yang mengambil kurikulum barat.

‘Software designer' peradaban bangsa Melayu sudah bertukar tangan, daripada alim-ulama sufi kepada 'colonial masters'; proses-proses selanjutnya telah membuka fasa kepada bermulanya era pendidikan anak-anak bangsa yang bercorak sekular, mengfardhu ainkan yang fardhu kifayah, dan mengfardhu kifayahkan yang fardhu ‘ainnya. Rapuhlah teras IMAN, ISLAM dan IHSAN (Rukun Agama Islam) anak bangsa, lemah jatidiri agama mereka, maka bermulalah ‘sumpahan’ terhadap bangsa ini yang barahnya telah membusuk menjadi nanah pada hari ini, dijelmakan wajah huduhnya pada hari ini khususnya dalam sistem politik kepartian, manakala dalam sistem pendidikan, perundangan, ekonomi dan sosial budaya, Islam rata-rata wujud hanya sebagai tempelan….
9. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan semakin kritikal apabila wujud agenda yang diterajui oleh sebuah parti politik yang mempunyai banyak sejarah hitam dalam lanskap politik negara dari zaman awal negara ini merdeka , yang menjadikan agenda mengindoktrinasikan generasi anak-anak muda, khususnya bangsa Melayu dalam satu program yang disebut sebagai ‘Sekolah Demokrasi’ @ SekDem . Antara tujuannnya adalah untuk memperkenalkan idea, idealisme dan idea politik parti tersebut, serta prinsip-prinsip sosial demokrasi seperti konsep kebebasan, keadilan dan solidariti.

10. Timbul kemusykilan, apakah konsep kebebasan dan keadilan yang diajar di SekDem bertepatan dengan nilai, kayu ukur dan pandangan alam Islam yang bukan sahaja merupakan agama bagi majoriti rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu, malahan merupakan agama bagi Persekutuan (Perkara 3 (1)). Atau konsep tersebut diambil daripada pemikiran sekular-liberal Barat? Kerana nilai, takrifan dan pandangan alam Islam dengan yang bersumber dari pemikiran Barat adalah sangat berbeza, umpama langit dengan bumi!

11. Dalam konteks ini, kita sudahpun mengetahui bahawa dalam kajian ilmu Neuro Linguistic Programming (NLP), salah kalimah akan menyebabkan berlaku kesalahan dalam berperilaku baik perilaku fikir mahupun emosi. Maka jikalau konsep kebebasan dan keadilan mahupun ideologi politik berteraskan kefahaman orang-orang Barat yang diajar menggantikan kefahaman yang diajar oleh agama kita, maka sudah tentu ianya akan memberikan natijah yang berbeza terhadap perilaku berfikir dan emosi mereka yang terdedah dengan kefahaman tersebut.

12. Kemusykilan lain, apakah perkara 'Kedaulatan dan Kuatkuasa serta Prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu (Per 181 Perlembagaan), Sumpah Rabbani Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga agama Islam, (Jadual 4 Perlembagaan), Islam sebagai Agama Persekutuan (Perkara 3), Kedudukan dan Hak Istimewa Orang Melayu (Perkara 153), Hak Kebebasan Asasi (Per 5-13) menjadi sebahagian daripada modul SekDem dengan diberikan kefahaman yang sebenar?

Apakah sejarah peradaban Tanah Melayu yang bermula lebih 700 tahun dahulu dengan kesultanan-kesultanan tradisional yang berpegang pada tamadun dan kebudayaan Melayu Islam diajar di SekDem, kerana di situlah hakikatnya wujud legitimasi Islam, Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu serta pribumi sehingga hari ini di Tanah Melayu ini? Apakah kedudukan dan hak istimewa orang-orang Melayu sebagai bangsa asal di Tanah Melayu yang sejumlah etosnya menjadi kerangka Perlembagaan Persekutuan di bawah perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu juga difahamkan kepada peserta program ini?

13. Kini, setelah 10 tahun program SekDem berlangsung, apakah natijah yang terhasil daripada program tersebut kepada pembinaan jatidiri watan dan keagamaan anak-anak bangsa Melayu? Apa yang pasti, sejak akhir-akhir ini sudah wujud suatu trend gelombang anak-anak muda bangsa yang mula menunjukkan tanda-tanda kebiadapan, tidak menghormati otoriti dan institusi agama, cenderung bersikap liberal dan anarkik. Dan yang paling membahayakan, dengan menggunakan kekuatan media baru, dari kalangan mereka telah mula MENIUP-NIUP SEMBOYAN PERJUANGAN REPUBLIK MENGGANTIKAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU! Siapakah dalang di sebalik kebiadapan dan kelantangan luar biasa anak-anak muda Melayu ini? Apakah sistem 'Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Keluhuran Perlembagaan' negara kita akan selamat di tangan generasi seperti ini yang sebentar lagi sudah boleh mengundi pada umur pra matang 18 tahun?

14. Kita tidak ingin menuduh sesiapa sebagai dalang dalam kebangkitan anak Melayu yang berjiwa anarkik di negara ini, namun sudah sampai masanya kerajaan mengambil tahu modul apa yang diajar di SekDem, dan apakah ianya sesuai dengan jatidiri dan prinsip kedaulatan watan negara ini?

15. Apa yang pasti, jikalau alim-ulama Tanah Melayu di zaman silam berhasil membimbing generasi demi generasi anak muda 'al Fateh' (Sultan Muhammad al Fateh, umara berjiwa sufi yang membuka Kota Konstantinopel seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw), kita tidak mahu ada pihak yang membawa agenda malapetaka sehingga melahirkan 'generasi Kemal Atarturk' yang telah menghancurkan Khilafah Othmaniyyah@ bakal menghancurkan Institusi Raja-Raja Melayu yang sangat dicemburui oleh 'ejen-ejen Dajjal'!!

KITA TIDAK BOLEH BERSIKAP DAYUS DENGAN MEMBIARKAN ‘CACING NAIK KE MATA’, SELAMATKAN ANAK MUDA BANGSA MELAYU...

TunSuzana@ Suzana Hj Othman

Pengerusi
Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam
KEMUDI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo