NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertahan kalimah suci melalui Enakmen Agama Bukan Islam

KES penggunaan kalimah Allah sekali lagi menjadi isu negara baru-baru ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khilaf apabila mengeluarkan arahan larangan penggunaan kalimah itu ke atas bukan Islam pada 5 Disember 1986.

Mahkamah juga memutuskan arahan KDN itu salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Hakim, Datuk Nor Bee Ariffin dalam penghakiman semakan kehakiman dimohon Jill Ireland, membenarkan wanita Kristian berbangsa Melanau itu menggunakan kalimah Allah yang terdapat dalam cakera padat (CD) berjudul 'Cara Hidup Dalam kerajaan Allah', Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah'.

Semua CD dirampas pihak berkuasa ketika ketibaan di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) Sepang pada 11 Mei 2008.

Hakim sama juga membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama dijamin dalam Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun mahkamah membenarkan permohonan itu untuk pendidikan agama, ia mesti disertakan penafian 'hanya untuk penganut Kristian' dan perlu meletakkan lambang salib pada bahagian hadapan kulit CD dan buku.

Noor Bee juga menekankan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan antara warganegara dengan alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang.

Mahkamah memutuskan larangan penggunaan tiga perkataan lain iaitu 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat' adalah berlawanan dengan Perlembagaan, menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Penggunaan semua perkataan ini tidak mengganggu ketenteraman awam.

Memandangkan penghakiman bertulis bagi kes ini belum dikeluarkan hakim, perbincangan mendalam tidak dapat dibuat.

Namun, hujah di bawah Perkara 11(4) dan 11(5) perlu dibincangkan kerana kebebasan beragama di Malaysia tidak bersifat mutlak, walaupun Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

Perkara 11(1) turut menyebut "tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya".

Perkara 11(4) memperuntukkan undang-undang negeri dan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara penganut agama Islam.

Menurut Profesor Andrew Harding, di samping melindungi kebebasan beragama, peruntukan dalam Perkara 11 juga membezakan antara mengamalkan dan mengembangkan agama.

Perkara 11(1) memberi kebebasan kepada setiap individu untuk mengamalkan agama anutannya. Namun, kebebasan beragama ini tidak bersifat mutlak kerana Perkara 11(4) juga memperuntukkan sekatan ke atas kebebasan beragama dari segi pengembangannya.

Sekatan ini menurut beliau lebih untuk memelihara ketenteraman awam seperti terkandung dalam Perkara 11(5).

Justeru, Perkara 11(4) memperuntukkan badan perundangan negeri, termasuk Parlimen bagi semua wilayah Persekutuan boleh menggubal undang-undang yang mengawal dan menyekat penyebaran doktrin dan kepercayaan bukan Islam kepada kalangan orang Islam.

Berikutan itu, penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam satu kesalahan jenayah, sebaliknya penyebaran agama Islam kepada penganut agama lain diharuskan.

Begitu juga dalam Perkara 11(5), di mana Perlembagaan menyekat kebebasan diberi dalam Perkara 11(1). Perkara 11 (5) memperuntukkan "Perkara ini tidak membenarkan sebarang tindakan berlawanan dengan undang-undang awam membabitkan ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak".

Melihat peruntukan dalam Perkara 3(1) yang memperuntukkan "...agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai..." - ini jelas menunjukkan hanya Islam disebut dalam Perlembagaan.

Agama lain boleh diamalkan di Malaysia dengan syarat ia dalam keadaan aman dan damai. Dengan perkataan lain, amalan agama lain yang boleh membawa kepada ketidaktenteraman, tidak dibenarkan sama sekali.

Merujuk kes kalimah Allah diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014 dengan majoriti 4 – 3 menolak rayuan oleh pihak The Herald yang mahukan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bahasa Melayu.

Ini rayuan The Herald terhadap keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013 yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam The Catholic Weekly walaupun hakim di peringkat Mahkamah Tinggi membenarkannya.

Alasan penghakiman mereka antara lain merujuk kedudukan Islam seperti diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam agama Persekutuan dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan mengenai larangan menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Bagaimanapun, larangan ini tidak terpakai di Sabah dan Sarawak, kerana dari segi amalannya ia menggunakan nama Allah dalam kitab Injil buat sekian lamanya.

Larangan ini hanya dikenakan di Semenanjung. Lagipun, tiada enakmen pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam di Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, Perkara 11(4) membenarkan negeri membuat undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan dalam kalangan Orang Islam) memperuntukkan beberapa sekatan yang menghalang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu dalam agama Islam untuk tujuan agama bukan Islam.

Memang jelas, dalam 10 negeri yang mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) memperuntukkan dalam Jadual (Seksyen 9) perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, antara lain, kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, firman Allah, hadis, Illahi, wahyu, ibadah dan perkataan lain yang tersenarai dalam Bahagian I jadual terbabit.

Tambahan pula, pada 16 Mei 1986, Kabinet memutuskan orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama mereka.

Ini diikuti keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada 7 Mei 2008 yang menyatakan bahawa kalimah Allah adalah khusus untuk orang Islam dan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakannya untuk agama mereka.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Undang-undang pengawalan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam mula diperkenalkan pada 1981 di Kelantan dan berakhir di Johor pada 1991.

Sekiranya kita mengambil 1991 bagi negeri paling akhir menggubal undang-undang itu, dalam tempoh 30 tahun undang-undang berkenaan wujud, hanya pada 2002 ada pendakwaan pertama di Pahang.

Tindakan undang-undang sepatutnya diambil mengikut enakmen ini bagi negeri yang sudah mempunyai undang-undang terbabit, termasuk di Selangor dan tidak hanya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk berbuat demikian.

***Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo