NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyatuan Peribumi di ambang PRU15


Oleh Ruhanie Ahmad

PEMIMPIN Peribumi perlu bertindak dengan pemikiran strategik dan kebijaksanaan warisan bangsa untuk melakar perjuangan bersama di ambang pilihan raya umum 15 (PRU15) dan di zaman seterusnya.

Penyatuan perjuangan bersama antara seluruh parti Peribumi ini perlu dilaksanakan segera mengikut senario politik semasa dan mendatang, khususnya mengenai hakikat strategik bahawa Malaysia selaku negara majmuk mesti ditadbir oleh sebuah kerajaan berpaksikan Pribumi yang prihatin terhadap seluruh rakyat berbilang keturunan.

Malaysia sudah mengalami pentadbiran kerajaan bukan berteraskan Peribumi di era Pakatan Harapan (PH) dari 10 Mei 2018 to 24 Februari 2020.

Pada ketika itu, Peribumi mengalami betapa dalam pemerintahan PH selama 22 bulan mereka berasa buat pertama kalinya seolah-olah masa depan mereka tergugat dan terancam.


Ini dibuktikan oleh penemuan beberapa kaji selidik pada tahun 2018 bahawa Peribumi kecewa dan hilang keyakinan terhadap kerajaan PH, terutamanya dalam memperjuangkan agenda Peribumi.

Kajian oleh Merdeka Center sejurus selepas PRU14 mendapati bahawa hanya antara 25-30 peratus sahaja pengundi Peribumi, Melayu dan Muslim telah menyokong PH dalam PRU14.

Kajian Ilham Centre diakhir tahun 2018 pula mendapati bahawa hampir 60 peratus Peribumi yang di kajiselidik tidak yakin dengan prestasi pemerintahan PH.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa 54.4 peratus Peribumi yang ditemui tidak yakin yang kerajaan PH bersikap serius terhadap “agenda Melayu”, termasuk dalam perjuangan mempertahankan hak-hak Peribumi dan Islam selaku agama Persekutuan.

Sebaliknya, kajian berkenaan merumuskan bahawa lebih 60 peratus Peribumi yang ditemui “yakin bahawa bukan Muslim menguasai pemerintahan PH” dan “DAP pula menguasai pentadbiran PH di Putrajaya.

Seterusnya, pelbagai kes empirikal menunjukkan bahawa Bersatu sebagai satu-satunya parti Peribumi dalam PH seolah-olah dibuli oleh lain-lain komponen PH, sementara Peribumi secara umumnya, kelihatan di provokasi dengan pelbagai karenah segolongan pemimpin PH.

Pada 27 Julai 2018, seorang pemimpin DAP mendakwa orang Melayu sebagai pendatang. Walaupun pemimpin berkenaan menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada orang Melayu, hakikatnya kenyataan yang sama pernah disuarakan oleh seorang pejuang utama Malaysian Malaysia pada tahun 1965. Menurut Dewan Masyarakat 15 Mei 1965, isu tersebut menyebabkan kemarahan orang Melayu yang tidak terhingga.

Seterusnya, pembentukan Muafakat Nasional oleh UMNO dan PAS pada 14 September 2019 pula disifatkan oleh seorang pemimpin besar DAP sebagai “deklarasi ‘perang’ terhadap bukan Melayu”.

Pada akhir Oktober 2019, seorang lagi pemimpin DAP, dengan secara tersirat, mendesak Bersatu meninggalkan PH apabila dia berkata bahawa komponen PH masih boleh terus membentuk kerajaan tanpa penyertaan Bersatu.

Pada 1 Disember 2019 pemimpin DAP yang sama pula berucap di satu majlis di New Era University College, Kajang, Selangor, yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang, termasuk sekumpulan bekas ahli Parti Komunis Malays (PKM).

Selain di atas, wujud tuduhan bahawa kontraktor Peribumi telah dianiayai oleh kerajaan PH dan beberapa aset serta saham milik GLC pula telah dijual kepada pelbagai syarikat asing.

Hakikat ini sudah berada dalam pengetahuan umum di era selepas PH apabila Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku Timbalan Presiden UMNO, menyenaraikan 17 kes penjualan aset GLC, termasuk aset Lembaga Tabung Haji, melibatkan kos berbilion ringgit, dikatakan telah dijual oleh kerajaan PH kepada syarikat asing.

Seluruh kes di atas berlaku ketika kerajaan PH dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang juga pernah mentadbirkan Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Huraian di atas juga menunjukkan bahawa sebuah pemerintahan berteraskan Peribumi yang tidak mempunyai keprihatinan dan ehsan terhadap Peribumi memang tidak boleh mentadbir Malaysia selaku negara majmuk di mana Peribumi adalah bangsa terasnya.

Lantaran itulah kepimpinan tertinggi Bersatu mengorak langkah untuk keluar daripada PH bagi membolehkan pembentukan satu kerajaan berasaskan Peribumi demi kepentingan semua rakyat Malaysia, seperti di zaman BN sebelum tercetusnya dakwaan skandal, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Lantas pemimpin politik Peribumi pada ketika ini tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk menggerakkan penyatuan jiwa dan penyatuan perjuangan bersama Peribumi bagi memastikan kewujudan kerajaan berteraskan Peribumi selepas PRU15.

Senario politik semasa Malaysia menuntut mereka untuk segera membuang ego “warlord” mereka yang sudah tercedera bagi membolehkan mereka menyusun langkah strategik menjamin keselamatan politik Peribumi di ambang PRU15 dan pada era seterusnya.

Dalam konteks ini, seluruh pemimpin Peribumi yang berhadapan dengan “kekangan peribadi” mesti berkorban dan secara sukarela sedia menarik diri daripada jemaah perjuangan strategik ini. Pemimpin Peribumi yang tercemar wibawanya juga perlu secara sukarela sudi menarik diri daripada perjuangan ini.

Percaturan strategik politik Peribumi ini perlu dilaksanakan secara bijaksana dan teliti. Ia tidak mampu mempunyai kelompok “jeneral” dan “perajurit” yang disifatkan sebagai liabiliti. Peperangan politik untuk menebus kembali maruah dan pemerintahan Peribumi di Malaysia yang majmuk ini memerlukan pejuang berjiwa bersih, ikhlas dan komited terhadap Peribumi dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Langkah awal yang paling utama dalam perjuangan ini adalah usaha penyatuan jiwa dan misi perjuangan di kalangan elit Peribumi peringkat akar umbi, tanpa mengira warna dan corak politik mereka, bagi mewujudkan satu wadah perjuangan Peribumi di masa depan untuk keamanan, kemajuan dan kemakmuran seluruh bangsa di era selepas PRU15.

-BebasNews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo