Responsive Ad Slot

Kelebihan Kurma Untuk Diabetes dan Obesiti

Kita selalu di fahamkan bahawa makanan dan buah-buahan yang manis perlu dielakkan oleh pesakit diabetes dan seseorang yang ingin menurunkan berat badan. 
.
Walaubagaimanapun bukan semua makanan yang manis itu tidak baik untuk kesihatan terutamanya buah-buahan. Diantara buah yang sangat berkhasiat, membantu menurunkan paras glukosa darah dan boleh membantu untuk kesihatan usus yang baik serta membantu menurunkan berat badan adalah buah kurma atau tamar. 
.
Buah kurma sememangnya tidak asing lagi kepada masyarakat Melayu Islam terutamanya semasa bulan Ramadhan. Pelbagai jenis dan saiz kurma yang dijual di pasaran dan diantara buah kurma yang paling popular adalah buah kurma Ajwa atau kurma Nabi yang dikatakan lebih berkhasiat dan menjadi kesukaan Nabi Muhammad SAW. Rasa kurma yang manis adalah amat baik untuk kita berbuka puasa dan ianya sebenarnya sangat berkhasiat kepada kesihatan untuk di makan sepanjang tahun.
.
Buah kurma sangat berkhasiat dan sepatutnya kita amalkan selalu untuk kawalan glukosa darah dan menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus kerana kandungan seratnya yang sangat tinggi. 
.
Buah kurma kaya dengan mineral seperti kalsium, fosforus, magnesium, potassium, manganese, copper dan zink. Ia juga kaya dengan vitamin A, vitamin B6, folate, choline dan vitamin K.
.  
Kandungan serat dalam buah kurma amat tinggi iaitu 7 gram serat dalam 3.5 oz hidangan buah kurma iaitu lebih tinggi daripada kandungan serat dalam granola bar. Serat yang tinggi ini amat penting untuk membantu menurunkan berat badan. Serat juga penting untuk perkembangan dan pembiakan kuman baik probiotik iaitu ia bertindak sebagai prebiotik. Serat amat penting untuk pegerakan usus dan melawaskan membuang air besar.
Dalam satu kajian  yang melibatkan 21 orang peserta yang mengambil kurma setiap selama 21 hari mendapati mereka menjadi lebih lawas membuang air besar berbanding sebelum mereka mula mengambil buah kurma. Oleh itu jika kita ada masalah sembelit, maka kita boleh amalkan makan kurma untuk bantu melawaskan membuang air besar.
.
Serat dalam buah kurman juga amat baik untuk membantu mengawal dan regulasi paras glukosa darah dengan lebih baik. Serat yang di makan akan memperlahankan penyerapan gula ke dalam  darah dan mengelakkan masalah pemuncakan paras glukosa darah selepas makan. Berdasarkan kajian, indeks glisemik bagi buah kurma adalah rendah dan ia di anggap sebagai makanan yang baik untuk di ambil oleh seseorang yang ingin mencegah diabetes, pesakit diabetes dan juga kepada mereka yang mahu menurunkan berat badan.
.
Kurma juga tinggi dengan anti oksidan polifenol iaitu flavonoids, karotenoids dan asid fenolik. Bahan ini juga bersifat anti keradangan yang membantu mengawal paras keradangan dalam tubuh kita. Oleh kerana itu pengambilan buah kurma sebenarnya membantu mencegah pelbagai penyakit kronik NCD jika di jadikan amalan harian. Kajian  menunjukkan bahan anti oksidan mengurangkan risiko penyakit kerana ia melindungi sel-sel tubuh daripada kesan serangan radikal bebas. 
.
Kajian  juga menunjukkan kurma amat baik untuk kesihatan otak kerana ia bersifat anti keradangan iaitu ia menurunkan penanda keradangan interleukin 6 (IL-6) yang berkait rapat dengan penyakit neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer. Kajian  ke atas haiwan menunjukkan kurma meningkatkan memori, pembelajaran dan mengurangkan tabiat akibat kerisauan.
.
Walaubagaimanpun kurma masih mempunyai jumlah gula yang tinggi di dalamnya, oleh itu pengambilan kurma secara berlebihan adalah tidak digalakkan. Berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan pengambilan kurma Ajwa sebanyak 7 biji setiap hari adalah jumlah yang baik dan boleh kita amalkan. Jadikan pengambilan buah kurma setiap hari sebagai satu tabiat pemakanan sihat untuk kesihatan yang lebih baik. InsyaAllah.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), MNM(ACNEM), FAGE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo