Pemulihan ekonomi harus bermula daripada kita



SEBAGAIMANA diharapkan banyak pihak, selepas lebih sebulan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri, kerajaan memutuskan untuk melonggarkan penguatkuasaan peraturan ini.

Rentas daerah dan negeri tidak lagi disekat, kecuali bagi kawasan yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kelonggaran diumumkan kerajaan wajar dialu-alukan. Ia berita baik kepada ramai pihak, termasuk mereka yang hendak bersama seisi keluarga di negeri dan daerah yang dihadkan oleh syarat PKPB.

Sebagaimana disebut, jika PKPB diteruskan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bakal kehilangan RM300 juta sehari. Ini belum dikira impak dan kerugian ekonomi serta sosial lain, yang wajar diambil kira dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Pastinya kerajaan mengambil kira semua perkara ini. Perangkaan menunjukkan sektor pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan serta industri acara perniagaan turut mengalami kerugian berbilion ringgit akibat COVID-19.

Lantas, diharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memberi kelonggaran membenarkan penganjuran acara perniagaan secara hibrid dan pengendalian mesyuarat di pusat konvensyen seperti di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Tidak dinafikan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) khusus perlu dalam mengekang keseriusan kesan dan impak pandemik.

Pun begitu mengambil langkah terbuka juga wajar dialu-alukan dan dilaksanakan secara proaktif bagi melihat manfaat secara menyeluruh dalam beberapa bulan akan datang.

Kehidupan harus diteruskan. Kita perlu inovatif meneruskan kehidupan tanpa mengabaikan kepentingan menjaga dan memelihara kesihatan setiap anggota masyarakat.

Keperluan memelihara kesihatan berkualiti dan ekonomi mapan yang berterusan demi kelangsungan hidup anggota masyarakat harus diimbangi.

Namun, di sebalik kelonggaran diberi, masyarakat jangan sesekali menyalahgunakan kebebasan demi kepentingan diri. Setiap daripada kita adalah 'barisan hadapan' yang bertanggungjawab mencegah gelombang keempat wabak COVID-19.

Aspek harus ditekankan adalah pematuhan peraturan dan pendidikan pencegahan. Pihak berkuasa wajar meningkatkan pendekatan pendidikan secara berterusan untuk mendidik rakyat jelata mengenai kemudaratan dan keburukan akibat COVID-19.

Sementara menanti kedatangan vaksin yang dilihat bakal membawa nafas baharu kepada orang ramai, kita perlu menerima hakikat bahawa virus ini akan menjadi sebahagian kehidupan kita.

Oleh itu, penting untuk melihat dengan serius norma baharu kehidupan manusia. Kita perlu mengintegrasikan tatacara baharu bagi meningkatkan kualiti kehidupan ketika berdepan krisis kesihatan yang tidak diduga.

Selepas kerajaan menghulurkan beberapa kelonggaran penguatkuasaan peraturan, rakyat mempunyai tanggungjawab lebih berat. Rakyat perlu turut mengutamakan pematuhan dengan penuh berdisiplin dan menyeluruh di setiap peringkat kehidupan.

Tugas dan tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa. Hanya kita yang boleh menjaga kualiti kesihatan diri kita.

Diharap dalam beberapa minggu akan datang, kerajaan akan memperluaskan kelonggaran membabitkan bidang ekonomi lain. Pengumuman awal amat dinanti-nantikan bagi menghidupkan semula ekonomi yang terjejas teruk.

Ekonomi perlu dipulihkan semula bagi memberi harapan kepada rakyat dan negara. Diharap kedatangan 2021 akan membawa lebih banyak berita menggembirakan ketika dunia diberi sedikit harapan susulan penemuan vaksin.

Ia harus bermula daripada tindakan kita. Tanggungjawab besar kita adalah mengukuhkan amalan SOP sebagai disiplin diri. Jangan leka sehingga membawa kepada gelombang keempat.

***Penulis adalah Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, World Trade Center Associations (WTCA)


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post