NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kartel 'Kuasai' Pusat Periksa Daging Import

KUALA LUMPUR: Kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan 'melepaskan' barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

Sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit, mendakwa kartel mempunyai 'orang dalam' pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

"Modus operandi kartel adalah 'membeli' kakitangan agensi kerajaan tertentu. Segala-galanya dirancang teliti, dari loji penyembelihan hingga pintu masuk di pelabuhan, kartel sudah atur orang mereka dalam agensi kerajaan untuk memudahkan urusan keluar masuk lori dari pelabuhan," katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), setakat ini Malayia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan.

Semua rumah sembelihan itu sudah menjalani pemeriksaan audit oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kelulusan diberikan. Pemeriksaan ke atas rumah sembelih di negara sumber juga dilakukan.

Selain JPV dan JAKIM, agensi lain mengawal selia urusan import bekalan daging ke Malaysia yang membabitkan beberapa peringkat adalah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Pelabuhan.

Sumber berkenaan mendakwa, selain negara sumber yang diluluskan, kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.

"Selain daging pejal, organ lain turut diseludup seperti paru, ekor, perut dan tulang leher. Dalam usaha menyeludup bekalan daging dari negara tidak diiktiraf ini, kartel membina rangkaian membabitkan penjawat awam dalam agensi tertentu," katanya.

Katanya, sogokan diuruskan orang perantaraan yang sudah mahir dengan birokrasi di pintu masuk negara dan mengenali orang dalam yang bertugas pada masa tertentu bagi meluluskan pergerakan keluar barangan.

"Kartel ini mempunyai orang dalam pada semua peringkat. Penjawat awam yang menjadi tali barut akan menerima sogokan setiap kali mengendali pelepasan masuk daging import berkenaan ke negara ini," katanya.

Sumber itu juga mendakwa, selesai urusan peringkat pertama iaitu pemeriksaan audit kualiti dan halal, kartel tidak akan berdepan masalah melepasi pelabuhan, khususnya di tiga pelabuhan zon bebas, iaitu Pelabuhan Kelang (PKFZ), Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.

Katanya lagi, penyeludupan daging import sejuk beku diragui statusnya yang dibungkus semula di negara ini dan ditampal tanda halal palsu sebenarnya sudah lama berlaku, didalangi syarikat milik bukan Bumiputera yang membentuk kartel menggunakan beberapa syarikat Bumiputera sebagai proksi.

"Walaupun syarikat proksi terbabit mempunyai kebenaran mengimport dari negara sumber yang diperakui status halalnya, kartel cenderung membawa masuk daging sejuk beku yang diragui status halal kerana memperolehnya pada harga lebih murah, sekali gus dapat meraih keuntungan lebih besar.

"Harga murah, antaranya kerana ternakan ada masalah kesihatan, selain loji penyembelihan tidak sah dan memproses daging tidak halal. Walaupun diikrar daging lembu, bekalan yang dibawa masuk sebenarnya daripada pelbagai ternakan, termasuk kerbau dan kuda dengan kaedah sembelihan diragui.

"Tindakan itu semata-mata mahu mengejar keuntungan tanpa memikirkan implikasi kesihatan pengguna yang diragui status kesihatan dan halal," kata sumber berkenaan.

Katanya, jika kakitangan kerajaan dalam rantaian pengawasan dan pemeriksaan tidak berkomplot dengan kartel, mustahil sejumlah besar daging import dari negara tidak diluluskan berjaya keluar dari pelabuhan negara dan dibawa ke gudang milik kartel.

"Rampasan 30 tan daging sejuk beku dibungkus semula dengan menggunakan tanda halal palsu di Johor awal bulan ini, adalah sebahagian bukti kegiatan kartel dibantu oleh penjawat awam yang menyalahguna kuasa," katanya.

Mengulas lanjut modus operandi kartel, beliau berkata, syarikat terbabit dipercayai sudah diberi penerangan mengenai operasi di pelabuhan termasuk jadual penugasan kakitangan dan bagi melepasi pemeriksaan, mereka mengemukakan dokumen palsu atau borang K8, iaitu kebenaran untuk transit bekalan sahaja.

"Sebagai contoh, jika orang dalam ditugaskan di laluan nombor tiga, kontena membawa barang seludup ini akan melalui laluan itu dan melepasi pemeriksaan. Habuan diberikan secara tunai kepada kakitangan di situ," katanya menambah, pengimport juga perlu mengisi borang K1.

Borang K8 adalah pengisytiharaan pemindahan barang dagangan dari satu zon bebas ke zon bebas yang lain melalui kawasan utama kastam, manakala borang K1 pula ialah bagi pengisytiharan dagangan import yang dibawa keluar dari zon bebas ke kawasan utama kastam.

Syarikat proksi guna nama berunsur Islam

Syarikat proksi ditubuhkan kartel pembekal daging sejuk beku di negara ini, dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Difahamkan, modal perniagaan setiap syarikat terbabit antara RM200,000 hingga RM300,000. Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.

BH dimaklumkan, industri pembekalan daging sejuk beku di negara ini dikuasai beberapa kartel membabitkan pengimport dan syarikat kargo, dengan satu daripadanya yang sudah dikenal pasti, dipercayai menubuhkan sekurang-kurangnya 12 syarikat proksi.

Daging sejuk beku dipercayai dibungkus semula dengan logo halal palsu disimpan dalam gudang diperiksa pihak berkuasa di Taman Perindustrian Senai, Johor awal bulan ini. - Foto BERNAMA
Daging sejuk beku dipercayai dibungkus semula dengan logo halal palsu disimpan dalam gudang diperiksa pihak berkuasa di Taman Perindustrian Senai, Johor awal bulan ini. - Foto BERNAMA

Sumber yang rapat dengan siasatan kes berkenaan, berkata selain menggunakan nama ahli kartel, pembekal disyaki mencuri maklumat dan data individu Bumiputera, khususnya Melayu untuk didaftarkan sebagai pemilik syarikat proksi ditubuhkan.

"Prosedur yang membenarkan syarikat didaftar dengan hanya salinan kad pengenalan, memudahkan kerja kartel untuk menubuhkan syarikat proksi, memanipulasi dokumen dan sistem bagi penubuhan seberapa banyak syarikat untuk menunjukkan mereka menjalankan perniagaan sah.

"Nama syarikat pula Islamik, secara automatik meraih keyakinan pemborong dan pelanggan untuk mendapatkan bekalan daripada syarikat terbabit," katanya menambah, perbuatan kartel menggunakan nama individu tanpa kebenaran boleh menyebabkan penganiayaan terhadap mangsa.

Sementara itu, seorang mangsa yang namanya digunakan kartel sebagai pemilik syarikat proksi, mendakwa hanya tahu mengenai perkara itu pada Mei lalu apabila dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap kartel terbabit.

"Saya dapati alamat yang digunakan dalam borang maklumat syarikat adalah alamat rumah saya, sebuah rumah kampung," kata lelaki berusia 37 tahun ini yang berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan dan hanya memiliki sebuah motosikal.

Katanya, sejak mengetahui dirinya 'pemilik' syarikat pembekal daging import yang mampu meraih untung besar, dia berasa terancam dan tidak selamat, sekali gus berharap pihak berkuasa dapat membersihkan namanya.

Lelaki itu percaya identiti dan salinan dokumen pengenalan dirinya diperoleh kartel kerana dia pernah membuat pinjaman dari syarikat pemberi pinjaman wang, kira-kira enam tahun lalu.

Seorang lagi mangsa berusia 40 tahun pula hanya mengetahui dia didaftarkan sebagai pemilik sebuah syarikat apabila dimaklumkan tidak lagi layak menerima bantuan zakat, beberapa bulan lalu.

"Saya hanya tahu mengenai perkara ini pada Mei lalu apabila tidak lagi menerima zakat seperti tahun sebelumnya," katanya.

Info

SOP import daging sejuk beku (sumber MAQIS)

• Produk perlu direkodkan dalam borang pengakuan barang-barang diimport.

• Harus ada permit import, sijil kesihatan, sijil halal, sijil negara asal, invois, 'bill of landing', senarai pembungkusan.

• Semua dokumen import, sokongan perlu disemak rapi. Kegagalan akan menyebabkan konsainan dilarang masuk.

• Walaupun diluluskan pada tahap itu, konsainan masih perlu diperiksa secara fizikal/visual, termasuk maklumat komoditi, suhu, rumah sembelih, tarikh luput, keadaan fizikal barangan.

• Pada tahap pemeriksaan fizikal, konsainan jika dikesan tidak patuh prosedur semua prosedur, boleh dilarang masuk ke negara ini.

- Berita Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo