NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sejarah Yahudi Dan Pengaruh Hellenistik


Oleh : Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil

[Pertama] Sejarah Awal
1) Bani Israel adalah bangsa yang berketurunan daripada Nabi Ya’qub AS. Keluarga Baginda AS mula masuk Mesir pada zaman Nabi Yusuf AS ketika itu diamanahkan sebagai menteri.

Pada zaman Nabi Musa AS, sebilangan besar Bani Israel (Yahudi) keluar dari Mesir bersama Baginda AS, sehinggalah tersesat di Banjaran Teh selama 40 tahun.

2) Selepas itu dibangkitkan Nabi Yusha’ bin Nun (Joshua) membawa mereka masuk ke Palestin. Namun tidak ramai yang berani berhadapan dengan Bangsa Palestin yang bertubuh badan besar.

Setelah sekian lama di Palestin, mereka diuji dengan serangan daripada tentera Jalut (Goliath) iaitu di zaman Nabi Syam’un (Samuel). Di saat itu muncullah Talut dan Nabi Daud AS.
3) Nabi Daud AS berjaya membunuh Jalut, dan Yahudi kembali menduduki Palestin secara aman di bawah pemerintahan Talut. Setelah itu pemerintahan diteruskan oleh Nabi Daud AS.

Selepas Nabi Daud AS, lahirlah Nabi Sulaiman AS memerintah Palestin. Ketika itu Yahudi menguasai dunia, bahkan mukjizat yang hebat diberikan kepada Nabi Sulaiman AS

4) Setelah kewafatan Nabi Sulaiman AS, Yahudi terpecah menjadi dua. Perpecahan ini membawa kepada terbentuknya Palestin Utara dan Palestin Selatan.

Di saat pergolakan dalaman itu, menyebabkan mereka diserang oleh pemerintah Babylon, Nebuchadnezzar (634-562 SM) sehinggalah mereka terjajah di negara itu.

[Kedua] Falsafah Yunani
1) Pada zaman serangan Nebuchadnezzar itu, bermulanya era kemunculan Falsafah Yunani yang berkembang daripada Seven Sages yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

Peradaban Yunani Kuno (sebelum Socrates) boleh dikatakan runtuh pada era Perang Peloponnesia iaitu pertembungan antara Sparta dan Athena yang terjadi antara tahun 431-404 SM.

2) Sparta dan Athena kedua duanya adalah negeri di Greek. Perang yang berakhir dengan "menang jadi abu kalah jadi arang" ini membawa kepada perdamaian secara tak rasmi.

Perdamaian tak rasmi bagi saya ini, berakhir secara rasmi pada 1996, iaitu selepas 2500 tahun dengan pengistiharan yang dibuat oleh kedua dua Datuk Bandar.

3) Di era kejatuhan inilah munculnya Socrates (470-399 SM) dan aliran alirannya telah saya nyatakan dalam tulisan tulisan yang lepas. Beliau mati dijatuhkan hukuman minum racun.

Kemudian pemikirannya diteruskan oleh Plato (428-348 SM) dan melahirkan Aristotle (385-323 SM). Di zaman ini hasil perdamaian Sparta dan Athena yang diperintah oleh Philip II.

4) Philip II merupakan ayah kepada Alexender Macedonia, dan gurunya adalah Aristotle. Alexender Macedonia terkenal dalam sejarah kependekaran melebar luaskan empayar Macedon.

Alexender Macedonia memerintah selama 13 tahun sahaja (336-323 SM) menakluk Empayar Parsi, termasuklah Anatolia, Syria, Phoenicia, Gaza (Palestin), Mesir, Bactria, serta Mesopotamia (Iraq), dan lain lain.

[Ketiga] Zaman Hellenistik
1) Zaman Alexender Macedonia boleh dikatakan zaman keemasan, dalam melebarluaskan Empayar Macedonia Greek yang boleh dibanggakan selepas kejatuhan Athena dan Sparta.

Hellenistik merujuk kepada satu tempoh zaman perubahan dunia falsafah bermula selepas kematian Alexender Macedonia (Alexender The Great) 323 SM hingga 30 SM

2) Di zaman Hellenistik, falsafah tersebar luas ke negara negara lain, bukan setakat di Greek sahaja. Rata rata yang tersebar itu adalah aliran Stoicism dan Epikuranism.

Era pengaruh kedua dua "school of thougt" ini boleh dikatakan falsafah era baru yang agak jauh sikit daripada pembawaan Socrates. Era ini pula, Greek sudah menguasai bandar bandar penting.

a- Epikuranism diasaskan oleh Epicurus (341-270 SM). Walaupun pada mulanya agak popular, namun akhirnya semakin berkubur disebabkan persaingan dengan Sekolah Stoicism.

b- Stoicism diasaskan oleh Zeno Of Citium (334-262 SM) yang lebih popular berbanding Epikuranism. Antara jaguhnya seperti Cleanthes, Chrysippus dan Crates Mallus yang membawa Stoicism ke Rom pada 170 SM

3) Epikuranism membawa pendekataan mengecapi kebahagian dengan cara kepuasan (Hedonism). Manakala Stoicism membawa idea ketenangan fikiran secara nature.

Hellenistik berakhir pada 30 SM, iaitu ketika Empayar Mesir bergabung dengan Empayar Rom, iaitu semasa Dinasti Ptolemy (Dinasti Ptolemeus) disebabkan kekalahan mereka.

[Keempat] Kemunculan Empayar Rom
1) Ramai pengkaji yang cuba mentakrifkan perkataan Hellenistik. Cumanya, untuk mudah faham, Hellenistik adalah zaman penguasaan pengaruh Yunani ke beberapa buah negara lain.

Atau, projek men"Yunani"kan negara negara lain, dengan peradaban, budaya, pemikiran dan sebagainya yang berteraskan kepada pengaruh Yunani, atau ala ala keyunanian.

2) Ketika itu Mesir di bawah pemerintagan Cleopatra VII, Mesir ditewaskan dan ditakluk oleh Empayar Rom selepas Pertempuran Actium di Greece pada 31 SM.

Perang ini boleh dianggap sebagai perang terakhir Rom, di mana pertembungan antara Marcus Antonius (suami Cleopatra) dan Octavian.

3) Perang ini dimenangi oleh Octavian, dan di sinilah bermulanya Empayar Rom. Ada yang mengatakan Empayar Rom bermula sejak zaman Julius Caesar 100 SM - 44 SM

Julius Caesar merupakan bapa saudara Octavian, manakala Marcus Antoinus adalah orang kuat Julius Caesar yang bersaing dengan Octavian.

4) Hasil persaingan kuasa ini yang merugikan ini, akhirnya menyebabkan Tamadun Yunani itu tumbang. Mesir yang berbangga dengan sejarah Firaun juga telah berakhir di saat ini.

Kemunculan Empayar Rom secara rasmi pada 27 SM di bawah pemerintahan Octavian. Perlu sedar bahawa Empayar Rom walaupun berdiri megah, hakikatnya masih jelas bekas bekas falsafah Yunaninya.

[Kelima] Yahudi Terkesan Dengan Falsafah
1) Palestin pula antara wilayah yang turut sama berpindah di bawah kuasa Empayar Rom, seiringan dengan Pertempuran Actium yang berlaku pada 31 SM yang diceritakan tadi.

Masalah geopolitik sangat mempengaruhi perkembangan ideologi. Nabi Isa AS lahir di Palestin, ketika itu merupakan tempat suburnya falsafah hasil gelombang Hellenistik.

Iaitu selepas dikuasai oleh Alexender Macedonia, kemudian dikuasai oleh Dinasti Ptolemy Mesir. Kemudian setelah jatuhnya Ptolemy, Palestin di bawah Empayar Rom.

2) Bani Israel yang sudah bercampur dengan bangsa lain di Palestin tidak terlepas daripada pengaruh falsafah yang dikembangkan oleh Stoicism dan Epikuranism

Sebab itulah, tak pelik kalau Bani Israel ada yang terkesan dengan budaya keyunanian ketika itu, sukar untuk mempercayai kelahiran manusia tanpa bapa, dan bayi yang boleh bercakap.

3) Sejarah ini tertulis dalam banyak kajian, antaranya "Ancient Philosophy from 600 BCE to 500 CE" yang diedit oleh Brian Diugnan yang diterbitkan oleh Britannica Educational Publishing.

Sejarah ini ditulis di dalam "Chapter 6" bertajuk "Jewish and Christian Philosophy in the Ancient World" antaranya membincangkan tentang sejarah bagaimana falsafah itu memberi pengaruh kepada Yahudi.

Antara Tokoh Falsafah Yahudi yang dinyatakan, bernama Philo atau Philon (20 SM - 50 M). Beliau dikatakan terkesan dengan aliran Stoicism, dan pernah berkunjung ke Palestin.

- Rabu, 22 April 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo