NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemenangan 6 PRK bukti MN disenangi rakyat, kata Najib



PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) terbukti disenangi rakyat, khasnya akar umbi berdasarkan kemenangan Umno dan PAS dalam 6 pilihan raya kecil lalu, kata Najib Razak susulan dakwaan wujud surat menyokong pendaftaran Perikatan Nasional (PN) secara sah.

“Saya tak pasti (dakwaan PAS keluar surat sokong pendaftaran PN), ada yang kata surat itu dinafikan. Kita tunggu perkembangannya.

“Setakat ini, kerjasama kita (Umno-PAS) baik, ia terbukti dalam 6 PRK sebelum ini. Waima apa pun, kita akan menjayakan MN sebagai pendekatan dan kesepakatan politik yang diterima rakyat,” katanya ketika berkempen untuk calon PRK Slim, di Perak hari ini yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Terdahulu, surat bertarikh 27 Julai dan 3 Ogos yang dikatakan ditandatangani Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bersetuju parti itu menjadi anggota penaja PN tersebar di media sosial.

Surat itu masing-masing menamakan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali serta Naib Presiden, Samsuri Ahmad Mokhtar dan Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan sebagai ahli jawatankuasa penaja PN.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim pada 9 Ogos lalu menafikan PAS mengeluarkan surat sokongan untuk mendaftarkan PN secara sah.

Katanya, PAS sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan surat palsu itu.

Mengenai peluang Barisan Nasional memenangi PRK Slim, Najib berkata, penerimaan pengundi Slim terhadap calon BN, Mohd Zaidi Aziz amat positif dan yakin parti itu mampu mendapat undian tinggi.

“Kita kena kerja bersungguh-sungguh pada saat akhir,” kata bekas perdana menteri itu.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/20/kemenangan-6-prk-bukti-mn-disenangi-rakyat-kata-najib/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo