NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPMS bawa isu bahasa kebangsaan ke mahkamah persekutuan


KENYATAAN MEDIA: GPMS RUJUK ISU KEWAJIPAN BERBAHASA KEBANGSAAN DI MAHKAMAH, KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN
4 Ogos 2020

1. Menjelang bulan kemerdekaan ini, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah memfailkan satu permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan, menyentuh soal berbangkit tentang kesan peruntukan Perlembagaan untuk menentusahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, yang mestilah digunakan bagi semua prosiding di Mahkamah.

2. Permohonan ini dibuat di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Perkara 4(1), dan seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Mahkamah telah menetapkan 24 Ogos 2020 ini untuk pengurusan kes.

3. Persoalan berbangkit ini timbul kerana selepas GPMS [bersama-sama dengan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM)] memfailkan saman bagi mengisytiharkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai bercanggah dan tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan pada tahun lalu, Mahkamah telah memberikan arahan kepada para peguam yang terlibat agar menterjemahkan semua kertas-kertas kausa yang telah difailkan dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris, bagi kegunaan Mahkamah.

4. GPMS percaya arahan yang seperti ini bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan juga seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan yang memperuntukkan segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan. Justeru tiada sebab mengapa kertas-kertas kausa perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

5. Jaminan-jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang berkenaan ketinggian serta kesucian bahasa kebangsaan tidak akan mempunyai makna, sekiranya Mahkamah dan segala agensi kerajaan tidak menunjukkan komitmen untuk patuh kepadanya secara ketat dan tegas. Dalam hal ini, GPMS akur dengan penegasan Mahkamah dalam kes Zainun Dahan v Rakyat Merchant Bankers Bhd & Stu Lagi [1997] 4 CLJ Supp 279 yang telah dipetik dan diterima pakai oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v Tun Dr. Mahathir Mohamad [2011] 1 CLJ 1, bahawa “Penggunaan bahasa Melayu di Mahkamah tidak boleh dipermudahkan dan diambil ringan. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa kebangsaan negara ialah Bahasa Melayu (Perkara 152). Dengan peruntukan undang-undang di atas, maka keraguan atas penggunaan Bahasa Melayu dalam prosiding Mahkamah tidak boleh dipersoalkan lagi. Jadi penggunaannya hendaklah dilaksanakan dengan ketatnya oleh semua pihak.”

6. Perlu ditegaskan bahawa GPMS menyokong segala usaha bagi meningkatkan kefasihan dan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa ketiga seperti bahasa Arab, Kadazan, Tamil dan Mandarin di kalangan rakyat Malaysia, tetapi menolak bahasa-bahasa tersebut digunakan dalam ruang rasmi, kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Mohd Alif Anas Md Noor
(Presiden GPMS)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo