Portal MalaysiaBiz mudahkan daftar perniagaan, mohon lesen


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi keutamaan, usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dan produktiviti dengan menyediakan akses lebih baik kepada perkhidmatan dalam talian bagi merealisasikan agenda Kerajaan Digital.

Sehubungan itu, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku peneraju dalam pemodenan penyampaian perkhidmatan awam dan SME Corp. Malaysia, iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), telah mengambil inisiatif membangunkan Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat atau Portal MalaysiaBiz.

Melalui portal ini, urusan mendaftar perniagaan dan memohon lesen akan menjadi lebih cepat dan mudah kerana kedua-dua urusan ini kini boleh dilakukan di satu gerbang perkhidmatan sahaja.

Portal yang boleh diakses melalui pautan https://malaysiabiz.gov.my dibangunkan melalui kerjasama strategik bersama Badan Pendaftar Perniagaan dan Pihak Berkuasa Melesen.

Portal MalaysiaBiz diintegrasikan dengan sistem dalam talian di 17 agensi, antaranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan beberapa lagi Badan Pendaftar Perniagaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Hanya melalui lima langkah mudah, pengguna boleh melaksanakan urusan secara end to end, bermula dari peringkat permohonan sehinggalah ke peringkat bayaran.

Melalui enjin carian yang interaktif, pengguna boleh memilih jenis pendaftaran dan lesen perniagaan yang ingin dimohon melalui menu Add to MySelection. Urusan mengemukakan permohonan akan dilaksanakan melalui menu MyTray.

Seterusnya, pengguna boleh menyemak status permohonan di menu MyTracker. Semua permohonan yang telah diluluskan akan dipaparkan dalam menu MyBusiness (pendaftaran perniagaan) dan MyLicense (lesen perniagaan).

Pengguna juga boleh memperbaharui pendaftaran dan lesen perniagaan yang telah tamat tempoh terus melalui menu MyBusiness dan MyLicense.

Portal MalaysiaBiz juga boleh diakses melalui telefon pintar untuk keselesaan pengguna.

Portal MalaysiaBiz turut menyediakan kemudahan pembelian data perniagaan melalui menu MyBiz-Data yang antaranya adalah seperti nama, status, alamat, jenis dan tarikh pendaftaran perniagaan serta maklumat pemilik daripada pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Satu lagi inisiatif yang turut dilaksanakan melalui Portal MalaysiaBiz adalah pelaksanaan format nombor 12 digit sebagai nombor pengenalan entiti perniagaan yang baharu.

Ia adalah satu format nombor yang menepati piawaian bagi kesemua jenis entiti perniagaan.

Sebelum ini, Badan Pendaftar Perniagaan menggunakan pelbagai format nombor pengenalan entiti perniagaan yang tidak seragam.

Selari dengan hala tuju pembangunan keusahawanan yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), portal ini dapat membantu memudahkan urusan memulakan perniagaan dan seterusnya menggalakkan lagi pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Kejayaan membangunkan Portal MalaysiaBiz merupakan tanda aras baharu inisiatif penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam hasil kolaborasi pintar antara pelbagai agensi.

Untuk maklumat lanjut tentang kemudahan daftar perniagaan dan permohonan lesen, sila layari; https://malaysiabiz.gov.my/ms
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post