KUCHING: Pengguna elektrik di Sarawak yang menerima bil yang melambung tinggi disaran mengambil gambar penggunaan sebenar elektrik di meter premis mereka dan menghantarnya kepada Sarawak Energy Berhad (SEB), untuk semakan semula.
SEB, syarikat pembekal tenaga elektrik tunggal di negeri ini menyatakan, bil yang dikeluarkan untuk bulan Jun juga mencerminkan anggaran penggunaan untuk tempoh antara Mac dan Mei tahun ini, kerana kerja pembacaan meter sebenar ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Dalam tempoh PKP, kebanyakan bil untuk bulan Mac, April dan Mei adalah berdasarkan anggaran penggunaan, dikira melalui corak penggunaan pengguna sebelum tempoh PKP," kata Pengurus Besar (Runcit) SEB, Ng Shou Fui dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata berikutan kebanyakan pengguna dan keluarga mereka berada di rumah sepanjang tempoh PKP, kemungkinan mereka lebih kerap menggunakan peralatan elektrik, yang mengakibatkan peningkatan penggunaan tenaga di rumah masing-masing.
"Kami menggesa pelanggan kami yang menghadapi sebarang masalah berhubung bil elektrik mereka untuk menghubungi eksekutif khidmat pelanggan di pusat khidmat pelanggan kami.
"Ambil gambar bacaan di meter dan petugas kami akan membuat pengiraan semula. Bil yang dibetulkan akan dikirim melalui e-mel kepada pelanggan,” katanya.
Ng berkata pelanggan boleh menghantar gambar-gambar bacaan meter mereka ke pusat khidmat pelanggan SEB yang terdekat, melalui e-mel ke customercare@sarawakenergy.com, atau menerusi aplikasi mudah alih mereka, SEB Cares, yang tersedia di Google Play Store, Apple App Store atau https://sebcares.sarawakenergy.com.my.
SEB juga membantu pelanggan mendapatkan potongan harga daripada bil mereka seperti yang diumumkan di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk mengurangkan beban pengguna ekoran pandemik COVID-19.
Di bawah kedua-dua pakej yang dibiayai oleh kerajaan itu, semua pemegang akaun yang layak daripada kategori domestik, komersil dan perindustrian akan memperoleh bil elektrik mereka secara automatik, dan diberikan diskaun antara lima dan 25 peratus, bergantung kepada kelayakan, untuk penggunaan antara April dan September tahun ini.
-- BERNAMA
Magis krismas di Melawati Mall 2024
2 hours ago
No comments
Post a Comment