NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendedahan Rakaman Suara Oleh Sprm: Sah Atau Tidak?


PENDEDAHAN RAKAMAN SUARA OLEH SPRM: SAH ATAU TIDAK?
oleh: DR. SHAMSHER SINGH THIND

Hari ini semua orang dah dengar berita pasal pendedahan yang dibuat oleh SPRM (yang diketuai oleh Latheefa Beebi Koya), sehingga Najib dipanggil dengan nama samaran baharu, iaitu "Darling" (http://www.astroawani.com/…/9-rakaman-dakwa-konspirasi-jena…).

Adalah menjadi undang-undang asas dalam sistem pengadilan jenayah bahawa seseorang suspek atau tertuduh harus diberi perbicaraan yang adil (nemo iudex in causa sua) dan hak untuk bersuara (audi alteram partem). Tindakan Beebi Koya dan SPRM mendedahkan rakaman suara kepada umum, tanpa melakukan apa-apa verifikasi sama ada atau tidak suara itu adalah milik Najib, Rosmah dan lain-lain, dan dibuat pula tanpa kehadiran Najib atau peguam-peguamnya, jelas sekali melanggari kedua-dua prinsip natural justice tersebut. Kalau nak benci Najib, silakan, tetapi kedaulatan undang-undang negara harus dihormati.

Saya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa Beebi Koya telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 68 Akta SPRM 2009, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah seksyen 69, kerana melanggari peruntukan di bawah seksyen 65(1).

Menurut seksyen 65(1):

'... [J]ika apa-apa aduan yang dibuat oleh seseorang pegawai Suruhanjaya menyatakan bahawa aduan itu dibuat berbangkit daripada maklumat yang diterima oleh pegawai yang membuat aduan itu, [maka] maklumat yang disebut dalam aduan itu dan identiti orang yang daripadanya maklumat itu diterima hendaklah menjadi RAHSIA antara pegawai yang membuat aduan itu dengan orang yang memberikan maklumat itu, dan segala-gala yang terkandung dalam maklumat itu, identiti orang yang memberikan maklumat itu dan segala hal keadaan lain yang berhubungan dengan maklumat itu, termasuk tempat maklumat itu diberikan, TIDAK boleh didedahkan ...' [penekanan ditambah].

Seksyen 65(1) tertakluk kepada dua pengecualian. Seksyen 65(2) membenarkan pendedahan maklumat yang boleh digunakan sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding Mahkamah tetapi dengan syarat identiti pemberi maklumat itu tidak boleh didedahkan. Seksyen 65(3) pula membenarkan pendedahan maklumat serta identiti pemberi maklumat dalam mana-mana prosiding Mahkamah dalam mana pemberi maklumat itu didakwa kerana memberi maklumat palsu.

Memandangkan kedua-dua pengecualian tidak terpakai dalam kes ini, maka "general rule", iaitu maklumat yang diberikan kepada pegawai SPRM adalah RAHSIA, terpakai. Oleh itu, pendedahan tersebut adalah pecah rahsia.

P.S. Kekebalan (imuniti) daripada pendakwaan jenayah di bawah seksyen 72 tidak terpakai kerana kekebalan itu hanya melindungi pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas mereka menurut peruntukan Akta SPRM 2009 dan undang-undang lain dengan suci hati. Satu lagi, saya memohon agar pihak polis menjalankan siasatan kes ini kerana tiada pegawai SPRM yang akan menyiasat bossnya. Seksyen 70 memberikan kuasa kepada mana-mana pegawai polis untuk menyiasat kes ini.

Sumber: https://www.facebook.com/dr.ssthind/posts/2499448106936975

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo