NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penggabungan UMT,UniSZA Perlu Kajian Mendalam – MB Terengganu



KUALA TERENGGANU, 12 September – Hasrat kerajaan Pusat untuk menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) perlu melalui kajian terperinci sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak termasuk pemegang taruh, kakitangan dan juga pelajar-pelajar mestilah turut sama dilibatkan dalam perbincangan bagi menentukan solusi terbaik.

Jelasnya, usaha berkenaan juga mampu mendapatkan maklumat yang jelas mengenai matlamat sebenar dan juga keperluan ke arah penggabungan tersebut.

"Memang menjadi hak kerajaan Pusat untuk menggabungkan atau pun memecahkan institusi itu, namun mereka harus belajar daripada isu-isu penggabungan di tempat lain di luar negara.


"Kriteria terpenting pada saya ialah keputusan itu perlu diperjelaskan untuk mengelak kekeliruan ramai di samping apakah model penggabungan tersebut sama ada untuk menyelamatkan sesebuah universiti atau bagi tujuan strategik, mengenal pasti alternatif lain dan kesannya dari segi perundangan, kos, sosial, nasib kakitangan serta institusi berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi 'Walk Through Bengkel projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade' di Hotel Primula, di sini hari ini.

Katanya lagi, kerajaan Pusat turut disaran untuk melibatkan kerajaan negeri dalam apa-apa perbincangan sebelum sebarang tindakan dibuat dalam isu penggabungan dua universiti yang berpangkalan di Terengganu itu.

"Ini kerana inisiatif tersebut tentunya turut memberi kesan kepada sektor pendidikan di Terengganu," jelasnya.

Namun tambah beliau, penggabungan kedua-dua universiti itu secara luarannya dilihat tidak akan merencatkan usaha Terengganu untuk muncul sebagai negeri anjung ilmu sebagaimana yang dihasratkan.

Semalam, Kabinet melalui satu kenyataan media memutuskan telah bersetuju secara prinsip untuk menggabungkan UMT dan UniSZA.

Ia sebagai satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutama dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/09/penggabungan-umt-unisza-perlu-kajian.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo