NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penggabungan UMT-UniSZA mesti adil, ambil kira pandangan semua pihak, kata naib canselor


Naib Canselor UMT Nor Aieni Mokhtar berkata, falsafah asal penubuhan UMT dan UniSZA perlu dikekal dan diperkasakan.

KUALA TERENGGANU: Langkah penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) harus mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dan kebajikan warga kedua-dua universiti secara adil dan saksama.

Naib Canselor UMT Nor Aeini Mokhtar berkata, UMT sedang dan akan terus berusaha mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh seperti pengurusan tertinggi universiti, ahli senat, warga akademik dan perkhidmatan sokongan, pelajar, alumni, komuniti setempat serta pihak berkepentingan yang lain.

"UMT menyeru agar semua pihak dapat berbincang dan menyatakan pandangan secara matang dan profesional kerana isu ini sangat penting kepada landskap pendidikan tinggi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aeini berkata, UMT juga yakin kerajaan akan mempertimbangkan dan membuat keputusan terbaik selepas mendapat hasil kajian serta pandangan menyeluruh daripada semua pihak yang terbabit dan berkepentingan.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pendidikan mengiktiraf kekuatan kedua-dua universiti dengan meletakkan kluster yang berlainan bagi setiap universiti, iaitu UMT di bawah universiti berfokus ilmu kelautan dan UniSZA sebagai sebuah universiti pengajian Islam.

Katanya, UMT berharap semoga falsafah penubuhan asal kedua-dua universiti dapat dikekal dan diperkasakan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kabinet pada 4 Sept dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah penggabungan itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Nor Aeini menambah, UMT yang diasaskan sejak 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera Universiti Putra Malaysia memainkan peranan besar dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.

"Sehingga kini, UMT berkembang dengan pesat sebagai sebuah universiti yang menumpukan pada bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.

UMT juga memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara dalam pendidikan maritim, kelestarian sumber dan khazanah marin dengan menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan," katanya. - BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo