NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Lepasi Sasaran Tanam Semula 1.2 Juta Pokok



SETIU, 28 Mac - Terengganu berjaya menanam 1.2 juta batang pokok dalam program inisiatif penanaman lima juta pokok sekali gus melepasi sasaran untuk menanam sebanyak 800,000 batang pokok setahun di seluruh negeri pada 2018.

Pengarah Perhutanan negeri, Mohd Rahim Rani berkata, Kempen Menanam 26 Juta Pokok yang telah dilancarkan pada April 2010 terbukti telah berjaya apabila hampir 42.7 juta pokok telah ditanam di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Daripada jumlah itu, Terengganu berjaya menyumbang hampir 261 ribu pokok sepanjang ia mula dilaksanakan bermula 2010.

"Kita berjaya melepasi sasaran pada tahun lepas melalui kerjasama semua pihak termasuklah agensi-agensi awam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar-pelajar sekolah dan universiti serta masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Negeri Terengganu 2019 "Hutan dan Pendidikan" di Dewan Universiti College Bestari (UCB), di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Pada majlis yang sama, sebanyak 1,000 anak pokok yang terdiri daripada pokok buah-buahan seperti durian belanda, jambu bertih dan manggis diberikan kepada ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Setiu untuk dibawa balik dan seterusnya ditanam di kawasan awam seperti kawasan balairaya, masjid dan sebagainya.



Mengenai isu pembalakan haram, Mohd Rahim berkata, pihaknya juga meningkatkan penguatkuasaan termasuk pemantauan berkala bagi mengawal kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpan di negeri ini.

Tambahnya, Terengganu mempunyai seluas 542 ribu hektar Hutan Simpan Kekal untuk dipulihara dan dikekalkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya.

"Pihak kami sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam memastikan hutan simpan yang ada harus dilindungi sepenuhnya.

"Ia demi menjaga kelestarian, kepelbagaian biologi hutan, di samping potensi untuk pendapatan daripada sektor eko-pelancongan berasaskan alam sekitar," katanya lagi.

Sementara itu, Dr. Azman berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.87 juta kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk melaksanakan sepuluh program utama pembangunan hutan secara berkekalan di Terengganu pada tahun 2019.

"Ia bagi memastikan usaha-usaha pembangunan dan pemuliharaan hutan yang berkesan selaras dengan konsep pengurusan hutan secara berkekalan supaya khazanah ini sentiasa terpelihara," katanya.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/03/terengganu-lepasi-sasaran-tanam-semula.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo