NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Uyghur: Turki gesa China lindungi hak kebebasan beragama

ISTANBUL, 21 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Turki menyuarakan kebimbangan berhubung layanan buruk pemerintah China terhadap etnik minoriti Uyghur dan umat Islam lain di wilayah Xinjiang.

Kebimbangan itu disuarakan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu semalam, sekali gus menggesa Beijing supaya melindungi kebebasan beragama di negara itu.

"Perbezaan harus dilakukan antara pengganas dan mereka yang tidak bersalah. Bagaimanapun, saya perlu menggariskan bahawa kita menyokong dasar China One ( merujuk pendirian Beijing bahawa negara itu merangkumi wilayah Taiwan dan autonomi, termasuk Xinjiang dan Tibet).

"Kami mengharapkan hak asasi manusia sejagat, termasuk kebebasan beragama dihormati dan memberi perlindungan kepada identiti kebudayaan etnik Uyghur serta umat Islam yang lain," katanya.

Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuka sesi empat minggu tahunannya semalam, berhubung isu berkaitan nasib Uyghur, yang didakwa diasing dalam satu penjara kononnya bertujuan latihan dan pendidikan semula di Xinjiang.

Pakar dan aktivis PBB mendedahkan bahawa kem tahanan itu mempunyai sejuta etnik Uyghur – yang boleh berbahasa Turki – dan minoriti umat Islam lainnya.

China bagaimanapun menafikan tuduhan melakukan penganiayaan ke atas Uyghur dan menganggap kritikan dalam Majlis PBB sebagai campur tangan terhadap kedaulatan negaranya.- Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo