NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

HFMD:16 Kes Baharu Di Pahang



KUANTAN – Enam belas kes baharu jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan dalam kalangan pelajar di sembilan buah sekolah di lima daerah di Pahang, dan semua mereka kini diberikan pengecualian kehadiran.

Pengarah Pendidikan negeri Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata empat murid di daerah Kuantan yang disahkan menghidap HFMD ialah tiga pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Semambu manakala seorang di Sekolah Kebangsaan (SK) Panching Utara.

Di Maran, ia melibatkan enam pelajar di SK Kampung Awah, manakala di Lipis masing-masing seorang murid di SK Gua, SK Wan Ibrahim dan SK Penjom serta seorang di SK Jalan Bahagia di Temerloh.

“Selain itu, seorang murid SJKC Khai Mun Chamang dan seorang di SK Sulaiman di Bentong juga disahkan menghidap penyakit itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tajuddin menambah semua sekolah itu bagaimanapun masih dibuka seperti biasa, dan semua guru besar dinasihatkan peka dengan murid yang menunjukkan gejala penyakit itu supaya tindakan awal dapat diambil.

Setakat ini, hanya SK Damak di Jerantut ditutup sehingga Jumaat ini, selepas 53 muridnya disahkan positif HFMD. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo