NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Politik "Gagap" Bahasa Melayu


Warga asing seperti Bangladesh dan Myanmar boleh sahaja berbahasa Melayu dengan fasih dalam tempoh enam bulan bekerja di Malaysia, kenapa pula ia tidak boleh dilakukan oleh ahli politik? Malah "Mat Dang Pulau Redang", orang berkulit putih daripada United Kingdom boleh fasih berbahasa dialek Terengganu dengan pelbagai peribahasa rakyat hanya dalam setahun bermukim di Terengganu sehingga menjadi ikon di media elektronik.  - Dr. Khairuddin

oleh: Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu bagi pegawai perubatan kontrak mendedahkan bagaimana longgarnya para pentadbir negara dalam menegaskan prinsip asas bernegara. Ia adalah siri kelonggaran jati diri sebagaimana berlaku sebelum ini isu pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

2. Kesatuan rakyat Malaysia mesti berpaksikan antaranya menerusi satu bahasa rasmi perantaraan seluruh rakyat Malaysia walaupun apa keturunannya iaitu Bahasa Melayu. 

3. Namun, lebih menyedihkan lagi ialah keadaan sebahagian ahli politik yang "gagap" berbahasa Melayu meskipun lancar berbahasa Inggeris. Kita boleh perhatikan perkara ini dalam perbahasan di parlimen dan dalam interaksi seharian menerusi sidang media atau ceramah politik. 

4. Ia menimbulkan persoalan: Adakah mereka tidak bergaul dalam satu masyarakat kepelbagaian bangsa? Atau mereka merasa jelik berbahasa Melayu tetapi bangga berbahasa Inggeris? Kenapa mereka boleh mempelajari Bahasa Inggeris sedang gagal untuk menguasai Bahasa Melayu?

5. Warga asing seperti Bangladesh dan Myanmar boleh sahaja berbahasa Melayu dengan fasih dalam tempoh enam bulan bekerja di Malaysia, kenapa pula ia tidak boleh dilakukan oleh ahli politik? Malah "Mat Dang Pulau Redang", orang berkulit putih daripada United Kingdom boleh fasih berbahasa dialek Terengganu dengan pelbagai peribahasa rakyat hanya dalam setahun bermukim di Terengganu sehingga menjadi ikon di media elektronik. 

6. Integrasi kaum di negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah menyaksikan bagaimana rakyat keturunan cina dan india bertutur dalam dialek negeri sehingga tidak dapat dibezakan sama ada mereka berketurunan cina, india atau berketurunan Melayu. Bagi saya itu adalah contoh kejayaan integrasi kaum. 

7. Namun, saya bimbang jika kedapatan rakyat Malaysia yang lahir dan membesar dalam Malaysia tetapi masih tidak boleh berbahasa Melayu sehingga pada usia dewasa.

8. Integrasi kaum perlu diperkasakan!!!

Sekian
Rabu 5hb Julai 2017

© all rights reserved
made with by templateszoo