NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts sorted by date for query KONGRES RAKYAT. Sort by relevance Show all posts
Showing posts sorted by date for query KONGRES RAKYAT. Sort by relevance Show all posts

Bekas ketua DAP Melaka, veteran kesatuan pekerja bantu kempen Bersama



MELAKA:
 Bekas pengerusi DAP Melaka Goh Leong San dan veteran kesatuan sekerja, N Gopal Kishnam akan membantu kempen Bersama bagi menghadap PRN Melaka, kata pemimpin parti itu Rafizi Ramli.

Ketika bercakap pada sidang media, beliau berkata Goh, bekas Adun DAP, akan menghadiri ceramah Bersama di kawasan DUN Kesidang pada Sabtu.

“Ini merupakan kali pertama Goh muncul di pentas politik sejak 2018,” katanya.

Goh merupakan tokoh kanan DAP Melaka sebelum meninggalkan parti itu pada 2017 bersama tiga lagi wakil rakyat, dengan alasan tidak berpuas hati terhadap kepimpinannya.

Beliau bertanding sebagai calon bebas di Kota Melaka dan Kesidang pada PRU 2018, tetapi kalah dan hilang deposit di kedua-dua kerusi itu.

Goh pernah menjadi Adun Melaka selama lima penggal, mewakili Tengkera, Bandar Hilir, Kesidang dan Duyong antara 1995 hingga 2018. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi DAP negeri dari 2005 hingga 2015.

Sementara itu, Gopal ialah pemimpin kesatuan sekerja veteran yang berkhidmat sebagai setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Peralatan Pengangkutan dan Industri Berkaitan.

Beliau juga merupakan setiausaha agung pengasas Persekutuan Kesatuan Sekerja Malaysia yang baru ditubuhkan serta bekas setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Rafizi berkata Gopal menyertai parti itu pada Oktober.

Bersama bertanding di 15 kerusi dalam PRN Melaka.

Parti itu bertembung dengan Pakatan Harapan di 14 kerusi, termasuk lima kerusi yang dimenangi gabungan itu pada 2021, iaitu Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.


Sumber | FMT Malaysia




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

RUU mansuh Auku dibentang tahun ini, kata Anwar



KLANG:
 Rang undang-undang untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap pada sesi Temu Anwar bersama mahasiswa hari ini, Anwar berkata beliau telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai hasratnya untuk memansuhkan Auku sepenuhnya.

“Insya-Allah, kita akan membentangkan rang undang-undang itu dan meluluskannya di Parlimen pada tahun ini. Pihak pengurusan universiti, sama ada naib canselor, rektor atau dekan, mesti ke depan,” katanya.

Anwar berkata undang-undang itu diperkenalkan ketika beliau menjadi pemimpin mahasiswa yang bertujuan membendung aktivisme mahasiswa, termasuk beliau sendiri, dan beliau komited untuk memansuhkan Auku dan bukannya sekadar memindanya.

“Sekarang ini, si Anwar ini dah jadi perdana menteri, (jadi kita) tukarlah undang-undang (Auku). (ada cadang) nak tukar sikit, saya tak setuju.

“Bagi ruang anak-anak, Mereka sudah dewasa dah matang. Adakah tak akan berlaku kesilapan, memang akan berlaku kesilapan, tetapi kita didiklah dan tegur,” katanya.

Anwar pada kongres PKR baru-baru ini mengumumkan bahawa Auku akan dimansuhkan sepenuhnya dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan digantikan dengan mana-mana undang-undang yang mengenakan sekatan terhadap kebebasan mahasiswa.

Beberapa kumpulan mahasiswa menyambut baik gesaan tersebut tetapi menggesa kerajaan menyediakan tempoh masa yang jelas untuk pemansuhan itu.

Kementerian Pendidikan Tinggi juga berkata bahawa pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji semua aspek yang terlibat dalam penggubalan undang-undang baharu bagi menggantikan Auku.

Digubal pada tahun 1971, Auku telah lama menjadi tumpuan perdebatan mengenai kebebasan mahasiswa untuk melakukan bantahan, berorganisasi dan menyuarakan pandangan mengenai isu politik dan awam.

Ia kali terakhir dipinda pada 2024 untuk memberikan autonomi yang lebih besar kepada persatuan mahasiswa dalam hal pengumpulan dana dan aktiviti lain.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kon Yeow minta Rafizi hormati keputusan perwakilan DAP



GEORGE TOWN – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Chow Kon Yeow meminta Datuk Seri Rafizi Ramli menghormati keputusan yang dibuat perwakilan parti itu susulan kenyataan bekas Menteri Ekonomi berkenaan kedudukan DAP dalam kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan asas yang perlu difahami semua pihak khususnya selepas Rafizi sebelum ini didakwa menyentuh mengenai kedudukan DAP yang sudah berada dalam kerajaan.

“Minta beliau menghormati DAP dan keputusan yang dibuat oleh para perwakilan.

"Itu adalah perkara asas, bukankah begitu?” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN 2040 (Kajian Semula) di sini pada Isnin.

Terdahulu, Rafizi yang juga Presiden Parti Bersama mendakwa keputusan DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sudah dijangka kerana agak sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah ‘menikmati’ kuasa untuk melepaskannya begitu sahaja.

Tambah Rafizi, DAP kini mempunyai ramai wakil dalam pelbagai kedudukan sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, ketua menteri, exco, wakil rakyat dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, mengulas kenyataan Rafizi mengenai Pulau Pinang yang berdepan kekangan tanah sehingga menjejaskan potensi hasil negeri berbanding negeri yang mempunyai keluasan lebih besar seperti Johor, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pendekatan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada.

Menurutnya, rancangan pembangunan tanah termasuk proses pengambilan dan pembukaan tanah bagi pelbagai kegunaan bukan hanya untuk sektor perindustrian.

“Sentiasa dalam proses pengambilalihan, pembukaan tanah-tanah untuk industri dan pelbagai penggunaan bukan sekadar industri sahaja.

“Pengkelasan desa ke bandar pun satu kaedah untuk menzonkan semula kegunaan tanah di negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri perlu mengoptimumkan penggunaan tanah yang ada bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberikan impak tertinggi kepada negeri.

“Optimum dan maksimumkan tanah-tanah yang sedia ada untuk kegunaan yang membawa impak yang tertinggi untuk pembangunan negeri.

"Kita perlu bekerja dalam kekangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri. Kita ada kelebihan, kita ada kekurangan, jadi kita perlu rancang mengikut kekuatan dan kekurangan kita,” katanya.

Menurutnya, kawasan Seberang Perai juga mempunyai potensi untuk menyumbang kepada perancangan pembangunan negeri berikutan masih terdapat tanah yang boleh dibangunkan.

“Masih banyak,” katanya ketika ditanya sama ada Seberang Perai masih mempunyai tanah yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan.

Menurutnya, perkara berkenaan boleh membantu menjayakan perancangan pembangunan negeri sehingga 2040.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mengulas mengenai isu kehadiran rendah perwakilan pada Kongres DAP yang berlangsung pada Ahad yang dilaporkan kurang daripada 50 peratus.

Menurutnya, jumlah kehadiran berkenaan masih memenuhi syarat korum yang ditetapkan bagi memastikan persidangan parti dapat dijalankan dengan sah.

“Korum yang ditetapkan bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sah ialah 25 peratus daripada jumlah perwakilan yang layak.

"Jadi, kita mempunyai lebih 50 perwakilan dan telah memenuhi syarat korum yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, kadar kehadiran pada pemilihan parti lazimnya kira-kira 60 hingga 70 peratus manakala dalam pilihan raya umum juga tidak semua pengundi keluar mengundi.

“Walaupun dalam pemilihan parti, jumlah kehadiran kita biasanya kira-kira 60 hingga 70 peratus. Dalam pilihan raya umum pun, jumlah keluar mengundi sekitar 65 hingga 70 peratus.

"Jadi, adakah itu bermakna pilihan raya umum kita tidak sah hanya kerana kadar keluar mengundi hanya 65 peratus? Tidak kan?. Itu perkara biasa,” katanya.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Serangan terhadap UMNO jejas keyakinan akar umbi hubungan BN-PH



IPOH - Serangan berterusan terhadap UMNO oleh pimpinan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan tidak membantu membina keyakinan dan kepercayaan ahli di peringkat akar umbi terhadap kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO menghormati pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun pada masa sama realiti dan sentimen akar umbi tidak boleh diketepikan.

Menurutnya, kerjasama antara BN dan parti dalam PH sejak awal bukan sesuatu yang mudah diterima sebahagian ahli parti itu terutama UMNO.

"Kita perlu kembali kepada asas bagaimana Kerajaan Perpaduan ini terbentuk. Persefahaman yang wujud hari ini lahir dalam kerangka pembentukan kerajaan selepas PRU15 dan UMNO memilih untuk meletakkan kestabilan politik serta kepentingan negara sebagai keutamaan.

 "Namun apabila wujud kenyataan atau tindakan daripada komponen tertentu dalam PH yang menyentuh garis merah serta sensitiviti perjuangan UMNO, ia sudah tentu menambahkan keresahan di peringkat akar umbi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan pasca Kongres PKR termasuk kritikan terbuka terhadap UMNO serta kesannya terhadap hubungan kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Media sebelum ini melaporkan Kongres Nasional Keadilan 2026 yang berlangsung di Melaka hujung minggu lalu menjadi medan perwakilan PKR menjadi medan mengkritik UMNO susulan kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak jujur, selain diibaratkan sebagai 'menikam dari belakang' PKR.

Beberapa perwakilan menjadikan isu kerjasama PKR menerusi PH dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak diterjemahkan dalam pilihan raya, terutama di Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan prestasi gabungan PH menjunam.

Sementara itu, Mohammad Sollehin berkata, keputusan dua PRN lalu juga perlu dibaca secara serius kerana memberikan isyarat bahawa akar umbi semakin jelas mengenai bentuk dan hala tuju politik yang mereka mahukan menjelang pilihan raya akan datang.

"Saya fikir jawapannya semakin terang. Siri kenyataan dan serangan terbuka antara pimpinan kedua-dua blok, termasuk apa yang berlaku dalam kongres baru-baru ini, menunjukkan jurang politik antara kedua-duanya semakin melebar.

"Persoalan sekarang bukan lagi siapa hendak menyelamatkan siapa. Kita perlu bercakap tentang moving forward. Kerjasama dalam kerajaan tidak semestinya bermaksud perkahwinan politik untuk selama-lamanya," katanya.

Mohammad Sollehin berkata, UMNO mempunyai hak menentukan haluan berdasarkan kehendak ahli dan akar umbi sendiri apabila tiba masa pilihan raya, walaupun kestabilan pentadbiran negara ketika ini terus dihormati.

Mengulas dakwaan serangan terhadap UMNO mungkin menjadi usaha mengalih perhatian daripada isu dalaman PKR, beliau enggan membuat spekulasi sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, PKR perlu menilai sendiri sama ada serangan terhadap UMNO mampu menyelesaikan keresahan rakyat terhadap parti berkenaan.

"Apabila rakyat mula memberikan isyarat, jangan terperangkap dalam denial syndrome. UMNO pernah melalui zaman apabila terlalu yakin dengan kekuatan sendiri sehingga gagal membaca perubahan sentimen rakyat.

"Kita membayar harga yang sangat mahal dan belajar daripada sejarah hitam tersebut. Sebab itu apabila rakyat menegur, dengarlah. Kalau tersilap, akuilah kesilapan dan kalau perlu meminta maaf, mintalah maaf dengan ikhlas. Selepas itu biarkan rakyat menilai," katanya.

Menurutnya, menjadikan UMNO sebagai sasaran mungkin mendapat tepukan dalam dewan kongres namun belum tentu memberikan jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat.

Dalam pada itu, Mohammad Sollehin berkata, UMNO perlu memberi fokus membina kekuatan sendiri, menyatukan ahli dan kepimpinan, mengurangkan perbezaan dalaman serta memperkukuhkan organisasi.

Katanya, proses meremajakan parti juga perlu diteruskan bagi memastikan UMNO mempunyai barisan kepimpinan yang sentiasa mempunyai pelapis.

"UMNO tidak perlu bermusuh dengan sesiapa. Tetapi UMNO juga tidak boleh bergantung kepada sesiapa.

"Bina kekuatan kita sendiri terlebih dahulu. Apabila UMNO kuat, kita tidak perlu mengejar sesiapa untuk bekerjasama dengan kita. Orang lain yang akan melihat nilai untuk bekerjasama dengan UMNO," katanya.


Sumber | Sinar Harian







 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kongres khas DAP hanya ‘wayang opera’, dakwa pemimpin PAS



PETALING JAYA:
 Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kongres khas DAP hari ini hanya ‘wayang opera’.

“DAP tidak akan keluar kerajaan hari ini.

“Hanya wayang opera sahaja. Rakyat yang akan keluarkan mereka,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Hari ini, seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan DAP layak membuat keputusan sama ada parti itu perlu terus kekal dalam kerajaan persekutuan atau keluar bagi baki penggal Parlimen semasa.

Usul mengenai hala tuju DAP itu dibentangkan Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook pada persidangan khas sehari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jika memilih untuk keluar daripada kerajaan, wakil DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran akan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa di blok kerajaan bagi baki penggal ini.


Sumber | Sinar Harian






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Auku: Kebebasan bersuara boleh diperbaiki, autonomi perlu difikirkan



Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR 2026 bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) disambut sebagai satu detik penting.

Bagi mereka yang lama memperjuangkan pembaharuan pendidikan tinggi, ia dilihat sebagai penunaian janji tertangguh. Hasrat memperbaharui itu wajar dihargai, dan penulis termasuk dalam kalangan menyokong penambahbaikan Auku. Arah itu betul.

Namun, sokongan terhadap pembaharuan tidak seharusnya membutakan kita daripada bertanya soalan lebih halus iaitu adakah alasan dikemukakan setimpal dengan tindakan diambil? Kerana dalam wacana semasa, dua perkara berbeza sering dicampuradukkan iaitu antara kebebasan bersuara mahasiswa dan ahli akademik di satu pihak, dan autonomi institusi universiti di pihak lain.

Keduanya penting, namun ia bukan perkara sama, malah kekeliruan antaranya boleh membawa kita membuat keputusan besar atas sebab yang kecil.

Soal kebebasan sebahagian besar sudah ditangani

Kebimbangan mengenai kebebasan bersuara mahasiswa adalah nyata dan sah. Tetapi, harus diakui secara jujur ia bahagian yang telahpun ditangani secara berperingkat. Pindaan 2012 membuka ruang penglibatan politik di luar kampus. Pindaan berikutnya membenarkan kegiatan politik dalam kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024 memindahkan kuasa tindakan tatatertib pelajar daripada naib canselor kepada sebuah jawatankuasa, dan membenarkan badan pelajar mengumpul serta menguruskan dana sendiri.

Ertinya, sekiranya baki rasa tidak puas hati mahasiswa berkisar pada ruang bersuara dan berpersatuan, ia boleh dan sepatutnya diselesaikan menerusi penambahbaikan lanjut yang lebih tegas.

Soal kebebasan tidak dengan sendirinya menuntut pembongkaran keseluruhan sebuah akta induk. Ia dapat dicapai dengan pisau bedah; ia tidak memerlukan tukul struktur.

Nisbah tak seimbang

Di sinilah letaknya persoalan lebih pokok. Memansuhkan Auku bukan sekadar satu reformasi kebebasan, bahkan satu pembinaan semula asas tadbir urus setiap universiti awam. Auku bukan hanya Seksyen 15 yang menjadi tumpuan media.

Ia akta induk menentukan bagaimana sesebuah universiti ditubuhkan, siapa melantik lembaga pengarah dan naib canselornya, bagaimana ia menjana pendapatan dan atas syarat apa ia menerima pelajar.

Beberapa bulan lalu, menteri pendidikan tinggi sendiri mengakui betapa besarnya implikasi ini apabila menjelaskan bahawa pemansuhan Auku akan memaksa penggubalan perlembagaan baharu bagi setiap universiti awam, satu proses memakan masa dan berpotensi mengganggu operasi institusi.

Pengakuan itu secara tidak langsung, mengesahkan hakikat yang sering terlepas pandang iaitu isu sebenar Auku ialah seni bina kuasa dan tadbir urus, bukan semata-mata hal ehwal mahasiswa. Beliau amat jelas, tepat, dan tegas dalam pendirian tersebut.

Maka, menarik tuas sebesar itu dengan implikasi yang begitu meluas semata-mata untuk menjawab soal kebebasan bersuara adalah satu nisbah tidak seimbang. Ia mencetuskan kesan yang amat besar atas alasan yang sebenarnya tidak memerlukannya.

Kelajuan dan godaan kepercayaan

Ada satu lagi kebimbangan lebih halus. Tidak sampai enam bulan sebelum pengumuman ini, pendirian rasmi masih menyatakan penambahbaikan lebih realistik daripada pemansuhan. Dalam tempoh singkat itu, pendirian berubah sama sekali bukan kerana muncul rasional dasar baharu, tetapi dilihat seiring motif momentum politik.

Rakyat berhak bertanya sama ada ini pembaharuan dirancang dengan teliti atau keputusan itu dipacu keperluan memulihkan kepercayaan terhadap reformasi yang hangat dibicarakan di konvensyen dua parti besar kerajaan.

Dan di sinilah paradoksnya. Kepercayaan tidak boleh dikejar secara langsung; ia hanya diperoleh sebagai hasil daripada istiqamah. Reformasi tergesa-gesa demi merebut kepercayaan menghakis kepercayaan itu sendiri, kerana masyarakat kita sudah lama pandai membezakan antara kesungguhan iltizam dan pengiraan bermusim.

Kelajuan, dalam hal ini, boleh menjadi pengkhianat kepada matlamatnya sendiri.

Perlu dibezakan antara ketegasan dan ketergesaan. Ketegasan ialah mengisytiharkan komitmen, lalu menunaikannya dengan betul.

Ketergesaan ialah mengumumkan sesuatu untuk menangkap momen, sebelum kerangkanya benar-benar wujud. Ukuran sebuah reformasi bukan pada tarikh pengumumannya, tetapi pada mutu akta menggantikannya.

Ujian sebenar ialah pengganti, bukan pemansuhan

Justeru, perhatian kita seharusnya tertumpu bukan pada perkataan ‘mansuh’, tetapi pada kerangka yang akan menggantikannya. Jika akta gantian digubal secara tergesa untuk memenuhi kitaran politik, maka soalan yang paling menentukan ialah siapa yang akan berkuasa melantik lembaga dan naib canselor, sejauh mana campur tangan eksekutif dibenarkan.

Adalah menjadi harapan yang sangat besar supaya soalan ini dijawab secara mendalam, bukan sambil lewa. Kita mungkin membatalkan sebuah nama, sedangkan seni bina kawalannya dibina semula dalam bentuk yang baharu. Membatalkan akta bukan jaminan membongkar struktur.

Harus diakui pula ada pandangan balas yang munasabah bahawa akta yang terpaksa dipinda berulang kali sejak 1971 itu sendiri membuktikan ia dibina atas premis yang salah, dan jalan yang benar ialah menggantikannya sepenuhnya, bukan terus menampalnya.

Hujah ini ada kekuatannya. Tetapi, kerana ia menyentuh premis yang sedalam itu, ia menuntut kesabaran dan kedalaman bukan kesegeraan. Sebab yang besar memerlukan pertimbangan yang besar.

Perbaiki dengan tegas, mansuh dengan sabar

Maka pendirian ini boleh diringkaskan begini. Jaminlah kebebasan bersuara mahasiswa dan ahli akademik sekarang, secara tegas, menerusi penambahbaikan yang jelas dan segera. Itu boleh dan wajar dilakukan tanpa berlengah.

Namun, janganlah tergesa memansuhkan dan menggantikan sebuah akta induk semata-mata atas kekuatan hujah kebebasan kerana taruhan sebuah akta induk itu bersifat peradaban, dan ia layak dibahaskan atas alasannya yang sebenar, iaitu autonomi institusi dan teras keilmuan universiti.

Institusi ilmu bergerak pada waktu peradaban, generasi, pembentukan insan, pembangunan umran yang perlahan. Ia tidak boleh dipandu sepenuhnya oleh jam politik.

Sekiranya Auku benar-benar hendak dimansuhkan, biarlah ia atas sebab yang jauh lebih mendalam daripada kebebasan bersuara, disertai garis masa yang telus, draf yang dibuka untuk maklum balas awam, dan libat urus yang sebenar bersama mahasiswa, warga akademik, dan masyarakat sivil.

Ibn Khaldun sudah lama mengingatkan apabila ilmu tunduk sepenuhnya kepada kuasa, bukan ilmu sahaja yang merosot, tetapi umran itu sendiri. Kepercayaan ialah amanah, dan amanah tidak boleh dipercepat; ia hanya boleh ditunaikan.

Tragedi yang paling wajar kita elakkan ialah mencetuskan implikasi yang besar demi alasan yang kecil, lalu melakukannya secara tergesa. Kita menyokong pembaharuan. Justeru, kerana itulah kita mahu ia dilakukan dengan betul.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Sumber | FMT Malaysia 











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo