Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa isu berkaitan penahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Susulan keputusan itu, Najib gagal memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman di kediamannya di ibu negara.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini telah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International sejak 23 Ogos 2022.
Najib, 72, bagaimanapun masih menunggu keputusan bagi satu lagi kes membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi berasingan pada Jumaat ini.
Pada asalnya, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Pada 1 April tahun lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan dan beberapa pihak lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam permohonan tersebut, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

No comments
Post a Comment