NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Legasi Aktivis Diperalat: Anak SM Mohamed Idris Bantah Anwar Lancar Buku

SHAH ALAM – Anak-anak kepada aktivis pengguna terkemuka, SM Mohamed Idris, secara terbuka membantah penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelancaran buku mengenang arwah bapa mereka, menyifatkannya sebagai satu pencerobohan terhadap legasi perjuangan yang tidak pernah tunduk kepada kuasa politik.

Dalam kenyataan bersama, Ayisha, Fathima dan Khatija menegaskan keluarga tidak pernah memberi keizinan kepada Anwar untuk menulis kata pengantar atau memainkan sebarang peranan dalam penerbitan buku berkenaan. Namun bantahan itu diabaikan sepenuhnya, apabila Perdana Menteri tetap diraikan sebagai tokoh utama majlis, sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai penghormatan terhadap hak dan sensitiviti waris.

Lebih mengundang kecaman, penggunaan logo rasmi kerajaan seperti Malaysia MADANI, ASEAN Malaysia 2025 dan Visit Malaysia 2026 dalam bahan promosi acara disifatkan sebagai komodifikasi legasi seorang aktivis berprinsip bagi memperkukuh naratif politik semasa. Keluarga menegaskan arwah SM Mohamed Idris tidak pernah dikaitkan, apatah lagi bersekutu dengan sebarang agenda kerajaan atau kepentingan kuasa.

Menurut mereka, tindakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganjurkan majlis tersebut dengan pendekatan sedemikian bukan sahaja mencemarkan prinsip perjuangan pengasasnya, malah memberi gambaran palsu bahawa legasi SM Mohamed Idris merestui kepimpinan dan agenda politik yang kini dipersoalkan, termasuk isu salah laku serius melibatkan cucu arwah yang masih melalui proses undang-undang.

Keluarga menegaskan, jika CAP benar-benar masih berpegang kepada nilai keadilan dan integriti yang pernah diperjuangkan SM Mohamed Idris, organisasi itu tidak sepatutnya menjadi pentas pemutihan imej politik, sebaliknya berdiri tegas bersama mangsa dan prinsip kebenaran. Kegagalan berbuat demikian, menurut mereka, hanyalah mengesahkan bahawa legasi seorang pejuang rakyat kini dikorbankan demi kepentingan politik sempit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo