Firma penyelidikan TrendForce melaporkan harga RAM meningkat sehingga 40 peratus tahun ini, dengan kekurangan bekalan dijangka berlarutan sehingga 2027 susulan permintaan besar-besaran daripada sektor AI. Keadaan ini memaksa pengeluar peranti menurunkan spesifikasi, khususnya bagi telefon kelas permulaan.
AI untungkan pusat data, pengguna jadi mangsa
Situasi ini memberi kesan paling ketara kepada segmen mampu milik yang sebelum ini menawarkan 6 hingga 8GB RAM sebagai piawaian minimum. Pengguna kini dijangka perlu membayar harga lebih tinggi hanya untuk mendapatkan peranti dengan 8GB RAM, manakala model murah kembali menggunakan konfigurasi lama.
Lebih membimbangkan, peranti bajet yang masih menggunakan storan eMMC tidak menyokong ciri memori maya, menjadikan pengalaman penggunaan semakin terhad ketika aplikasi dan kandungan digital semakin berat.
Pengeluar naik harga, storan fizikal mungkin kembali
Tekanan rantaian bekalan turut memaksa syarikat besar seperti Xiaomi dan Samsung mengesahkan kenaikan harga peranti pada tahun depan. Lenovo pula mengambil langkah luar biasa dengan membeli memori dan storan secara pukal sehingga 2026 bagi mengawal kos.
Malah, terdapat petunjuk bahawa slot microSD – ciri yang sebelum ini dibuang atas alasan reka bentuk dan prestij – mungkin kembali, bukan kerana kehendak pengguna, tetapi akibat kekurangan cip storan.
AI dipuji produktiviti, dikritik kesan alam sekitar
Ironinya, teknologi AI yang sering dipromosikan sebagai pemacu produktiviti kini menjadi faktor kenaikan harga perkakasan, di samping menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi, pencemaran bunyi, penggunaan air berlebihan serta kos tenaga setara ratusan ribu rumah.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan sama ada kemajuan AI benar-benar memanfaatkan pengguna, atau sekadar menguntungkan industri pusat data dengan mengorbankan kemampuan dan akses teknologi orang ramai.

No comments
Post a Comment