BANGI, 26 JAMADILAKHIR – Pelantikan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencetuskan reaksi luar jangka, bukan kerana jawatan itu tidak pernah mengundang kontroversi, tetapi kerana pelantikan itu sendiri dibayangi oleh pelbagai persoalan.
Sejak pengumuman pelantikan aktivis masyarakat itu menyertai Kerajaan Madani, media sosial dibanjiri perbincangan berkaitan pembabitannya dalam gerakan Justice For Zara, pengurusan dana awam, dakwaan penipuan emas serta kaitan dengan pendekatan kerohanian yang dikaitkan dengan istilah “New Age”.
Walaupun sehingga kini tiada pengesahan salah laku atau tindakan undang-undang, hakikat bahawa persoalan ini berlegar luas menunjukkan wujud jurang keyakinan yang signifikan dalam kalangan sebahagian masyarakat Islam.
Antara penjelasan awam setakat ini datang daripada ahli keluarga, terutama bapa saudara Marhamah, Dr Badrulamin Bahron yang juga antara ahli terawal PKR.
Dalam kenyataannya di media sosial, beliau mempertahankan integriti anak saudaranya, menjelaskan aspek permit kutipan dana, audit dalaman serta menafikan dakwaan penipuan dan fahaman New Age.
Namun, penjelasan berbentuk kekeluargaan dan peribadi, walaupun penting dari sudut emosi, tidak semestinya mencukupi untuk meredakan keraguan awam terhadap seorang pemegang jawatan tinggi kerajaan dalam portfolio agama.
Isu Justice For Zara, misalnya, bukan sekadar soal niat atau aktivisme, tetapi melibatkan sensitiviti penggunaan dana awam, ketelusan pengurusan dan peranan sebenar individu yang kini memegang jawatan kerajaan.
Walaupun dijelaskan bahawa dana tersebut berpermit dan diaudit, persoalan yang terus timbul ialah mengapa isu ini tidak diperincikan secara rasmi oleh pihak berautoriti, sebaliknya bergantung kepada kenyataan individu dan keluarga.
Begitu juga isu dakwaan penipuan emas, yang dijelaskan sebagai kes Marhamah merupakan mangsa. Walaupun siasatan polis disebut sedang berjalan, ketiadaan kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa menjadikan isu ini terus berada dalam wilayah kelabu, tidak dibuktikan salah, tetapi juga tidak diselesaikan secara tuntas di mata masyarakat.
Isu yang paling sensitif ialah dakwaan berkaitan pendekatan “New Age”. Walaupun ia disebut sebagai isu persepsi dan salah tafsir, penglibatan dalam dialog kerohanian universal serta penggunaan bahasa spiritual yang kabur batas akidah memang mudah mengundang kebimbangan dalam masyarakat Islam.
Dalam konteks jawatan Hal Ehwal Agama, persoalan bukan sekadar apa yang dipercayai oleh individu, tetapi bagaimana pendekatan dan simbolisme itu ditafsir oleh umat Islam secara keseluruhan.
Pandangan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa sentimen rakyat tidak boleh dipandang enteng, dilihat tepat dalam konteks ini.
Sentimen awam yang berlarutan, walaupun berpunca daripada persepsi, boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama dan pentadbiran kerajaan jika tidak ditangani dengan jelas dan telus.
Isu berkaitan Marhamah bukan semata-mata mengenai benar atau salah, tetapi standard keyakinan yang diharapkan masyarakat terhadap pemegang jawatan agama.
Bagi jawatan begini, beban pembuktian sering kali lebih tinggi, bukan dari segi undang-undang, tetapi dari segi kepercayaan awam.
Sehubungan itu, penting bagi Marhamah yang hari ini memasuki pejabat baharunya hari ini, memperjelaskan pelbagai isu yang timbul untuk mengelakkan pelbagai persepsi yang tidak benar terus berlegar, sekali gus tempoh berbaki pentabiran kerajaan sedia ada dipenuhi dengan gerak kerja yang akan memanfaatkan umat Islam dan mengukuhkan institusi Islam di negara ini.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment