BANGI, 26 JAMADILAKHIR – Pertukaran portfolio Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mungkin strategi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan agenda ‘memansuhkan PTPTN’.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Johari berkata, itu antara penjelasan munasabah disebalik keputusan Perdana Menteri yang mengundang begitu banyak sindiran daripada netizen.
Nor Izzat atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, jawatan baharu itu juga akan memberi peluang kepada Adam Adli untuk mencapai matlamat perjuangan yang dibawa ketika beliau menjadi seorang aktivis sebelum ini.
“Takkan semudah itu PMX meletakkan Adam Adli yang terkenal dengan ‘Mansuh PTPTN’ di KPT.
“Pasti ada sesuatu yang ingin dibuat oleh PMX seperti mana pelaksanaan subsidi bersasar sebelum ini,” katanya kepada TV Pertiwi.
Semalam, Anwar pada persidangan media khas mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 11 portfolio antaranya Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu.
Pengumuman itu telah mengundang reaksi berbeza dalam kalangan netizen termasuk sindiran dan mengungkit isu memansuhkan PTPTN – isu yang pernah diperjuangkan Adam Adli ketika menjadi aktivis.
Isu itu dibangkitkan semula kerana PTPTN terletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) manakala Adam Adli kini memegang jawatan kedua tertinggi di kementerian itu.
Mengulas lanjut, Cikgu Izzat berkata, meskipun pelantikan itu mengundang kritikan, Adam dilihat lebih sesuai berada di portfolio terkini berbanding dengan jawatan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana pengalaman dan latar belakang pendidikannya.
“Sepanjang di KBS, Adam Adli cuba mengurangkan seberapa banyak risiko kecaman kerana dia tahu, diri dia bukannya ahli sukan atau peminat sukan walaupun dia orang muda.
“Jika dalam bidang pendidikan. Ya. Dia ada potensi kerana dia adalah jurusan pendidikan daripada UPSI.
“Pada pandangan saya, ini adalah strategi berikutnya selepas subsidi bersasar yang saya anggap berjaya di peringkat pertama.
“Andai agenda PTPTN tidak dilaksanakan, PMX dan Adam Adli sudah pasti bersedia untuk jatuh dengan sendirinya,” tambah beliau.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment