Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu royalti: Akta 750 patutnya tak dapat berkuat kuasa




KUALA LUMPUR
: Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang diluluskan Parlimen tidak mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja dan tidak pernah diluluskan oleh negeri, demikian menurut Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, bahkan ada beberapa negeri, termasuklah Kelantan, Sabah dan Terengganu secara jelas menolak akta ini.

Beliau memberi pandangan dalam mengulas penafian hak ke atas hasil petroleum sebanyak 5 peratus kepada Kelantan dan Terengganu kerana dikatakan tidak berada dalam medan pengeluaran berdasarkan Akta 750 itu.

Menurut petikan Seksyen 3 (3) Akta Laut Wilayah 2012 ada menyatakan bahawa bahagian laut yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.

“Tafsiran ini (garis air surut dan bakinya sehingga 12 batu nautika itu dan juga Zon Ekonomi Eksklusif itu di bawah Kerajaan Persekutuan), jika diterima pakai, bermakna kita telah mengecilkan sempadan negeri.

“Pengecilan sempadan negeri ini tidak boleh dilakukan melainkan berdasar kepada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan bahawa ia hanya boleh dibuat melalui kelulusan oleh Negeri, terutamanya Dewan Undangan Negeri, dan juga kelulusan daripada Majlis Raja-Raja.

“Dan setakat ini kita tahu Akta Laut Wilayah yang diluluskan pada tahun 2012 ini tidak mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja dan tidak pernah diluluskan oleh negeri, bahkan ada beberapa negeri, termasuklah Kelantan, Sabah dan Terengganu secara jelas menolak akta ini.

“Bermakna peruntukan yang dimaksudkan, iaitu Seksyen 3 (3) itu tidak dapat berkuatkuasa dan sempadan yang mengecilkan sempadan negeri itu tidak dapat berkuatkuasa,” ujarnya.

Oleh itu jelas beliau, masalah tersebut perlu kembali kepada sempadan asal sebagaimana sejak Merdeka di mana negeri mempunyai sempadan yang tidak ditentukan hadnya dari sudut perbezaan antara Negeri dan juga Persekutuan.

Terang Dr Fathi, bermakna ia menggunapakai prinsip yang digunakan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa, iaitu pada 12 batu nautika dan selebihnya di bawah Zon Ekonomi Eksklusif.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sebagai pembangkang pernah menyatakan komitmen dan menandatangani ikrar memberikan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri berkaitan.

Bagaimanapun setelah ke jawatan tersebut, pembayaran sebanyak 5 peratus mengikut Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan negeri-negeri terbabit tetap juga tidak ditunaikan.

Malah, pentadbiran Anwar juga bersandarkan Akta 750 tersebut sebagai alasan sama yang digunakan oleh pentadbiran Perdana Menteri Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sepertimana juga dinyatakan dalam Sidang Parlimen.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam menegaskan Akta 750 adalah sah dan terpakai di seluruh negara walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu memutuskan menolaknya.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu menolak Akta 750 kerana ia membataskan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri, pada Sidang DUN Terengganu, Khamis lalu.

Ahmad Samsuri menegaskan, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 28/4/2024


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Masyarakat India KKB masih tunggu janji kerajaan bina SJKT – Ramasamy



KUALA KUBU BAHARU – Masyarakat India di Kuala Kubu Baharu masih menunggu janji kerajaan untuk membina sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebelum ini.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy berkata, malah banyak janji kosong yang ditaburkan kerajaan kepada penduduk negara ini, khususnya kaum India.

“Apa yang janji kosong antaranya pembinaan sekolah Tamil di Kuala Kubu Baharu tapi sampai sekarang tidak ada,” kata bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu, di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau menyarankan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak memilih calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Sebelum ini, Ramasamy menggesa agar masyarakat India memboikot PRK pada 11 Mei depan. 

Malah Ramasamy pernah menggesa PN menamakan calon dari kaum India untuk PRK kali ini.

DUN Kuala Kubu Baharu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac mempunyai kadar pengundi terdiri daripada 46 peratus pengundi Melayu diikuti Cina (31 peratus), India (18 peratus), dan lain-lain (lima peratus).

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan bebas, Nyau Ke Xin. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Parti gabungan enggan turun kempen jangan cuba sabotaj – Syahredzan

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan bercakap kepada media selepas melakukan sesi walkabout di Pasar Karat Batang Kali, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2024.



HULU SELANGOR – Parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan yang enggan turun padang bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu diminta agar tidak cuba melakukan sabotaj.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya parti-parti gabungan dalam kerajaan Madani dapat turut serta membantu Pang Sock Tao yang mewakili parti DAP berkempen untuk tempoh 13 hari.

“Saya rasa yang penting kita jalan kempen kita…macam Setiausaha Agung parti DAP (Anthony Loke Siew Fook) kata, PRK ini adalah untuk memujuk pengundi bukannya memujuk parti politik.

“Kalau yang nak tolong kempen, kita alu-alukan, yang tak nak turun tak apalah itu pendirian mereka.

“…cuma kita berharap janganlah pula sampai berkempen untuk pihak lawan atau sabotaj atau cuba menegangkan dalam Kerajaan Perpaduan…itu kita tak nak.

“Kalau tak nak kempen tak apa kita hormat, tapi, janganlah sampai buat provokasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menemani Pang melakukan walkabout bertemu pengundi di Pasar Karat Batang Kali, di sini, hari ini.

Turut serta pada sesi walkabout itu Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Syahredzan berkata demikian ketika diminta mengulas sikap MCA yang masih lagi membisu selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam menyatakan harapan agar parti itu dapat turut sama membantu kempen calon PH di sini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap MCA dapat membantu jentera Kerajaan Perpaduan berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh khusus bagi tujuan itu namun, yakin suasana akan berubah apabila ‘kedukaan’ MCA kembali reda.

Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan jalinan persahabatan erat dengan MCA sejak 1955, mampu meredakan pergeseran yang berlaku antara parti itu dan DAP.

Sementara itu, Young Syefura berkata, setiap kempen yang dilakukan bagi membantu calon PH berbeza caranya dan bergantung kepada situasi lokasi kempen dilakukan.

Katanya, sesi ceramah itu perlu ada sebagai tambahan dan yang pasti adalah bertemu dengan seramai pengundi yang boleh.

“Bagi saya berkempen cara yang baik adalah berjumpa dengan seramai mungkin pengundi sama ada dengan melakukan walkabout di rumah, pasar, kedai makan di mana pengundi asal itu berada,” ujarnya. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PN hormati pandangan Dr Mahathir, tingkatkan usaha dekati akar umbi di KKB

KUALA KUBU BAHARU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meramalkan DAP akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu. 

Azmin berkata yang menentukan kemenangan DAP adalah pengundi di Kuala Kubu Baharu dan bukannya Mahathir.

“Itu pandangan Tun Mahathir. Yang menentukan kemenangan adalah pengundi di Kuala Kubu Baharu, apa yang sedang dilakukan oleh parti yang bertanding adalah kita turun ke bawah memberikan penjelasan dan meyakinkan pengundi-pengundi tentang dasar perjuangan parti masing-masing. 

“Akhirnya pengundi yang akan tentukan dan saya yakin pengundi hari ini cukup matang khususnya anak muda yang ada akses kepada maklumat melalui internet dan sebagainya,” katanya kepada media ketika ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 30 Hulu Yam, lewat malam tadi. 

Azmin diminta mengulas kenyataan Mahathir yang meramalkan DAP akan menang PRK Kuala Kubu Baharu, kerana undi pengundi Melayu berpecah.

Mahathir berkata, kemunculan parti-parti serpihan Melayu telah memecahkan undi pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, PN tetap menghormati Mahathir sebagai seorang pemimpin.

Bagaimanapun, Azmin berkata, betapa hebatnya sesebuah parti itu tidak boleh diukur dengan sentimen akar umbi dan situasi semasa kempen. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada program jelajah Bpn Selangor dan Adun Bersatu bahagian Tanjong Karang di Warung Nasi Lemak Pak Anjang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 10 MAC 2024


“Kita hormati pandangan Mahathir tetapi dalam situasi semasa kita harus berada di lapangan, kita tidak boleh pisahkan dengan sentimen dan aspirasi rakyat di bawah. 

“Saya kira macam mana hebat pun sesebuah parti itu, dia kena turun balik ke akar umbi untuk bertemu rakyat berikan penjelasan dan ini yang sedang kita lalukan.

“Akhirnya kita mengharapkan mereka beri sokongan kepada kita,” katanya. 

DUN Kuala Kubu Baharu merupakan kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46 peratus, pengundi Cina 30 peratus, pengundi India 18 peratus dan lain-lain 5 peratus. 

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon bebas.

Pang Sock Tao dari DAP akan mempertahankan kerusi itu daripada cabaran Khairul Azhari Saut (Bersatu), Hafizah Zainudin (PRM), dan Nyau Ke Xin (Bebas). – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Perbalahan kerajaan perpaduan tingkat peluang PN di KKB, kata penganalisis

Minggu lalu MCA memutuskan tidak akan menyertai kempen PRK Kuala Kubu Baharu jika calon bukan daripada BN. 



PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mungkin mendapat manfaat susulan perbalahan MCA dengan parti komponen kerajaan perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan MCA tidak turun berkempen memaparkan imej tiada kesepaduan dalam kem kerajaan.

“Tanggapan sedemikian tidak baik untuk moral penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dan mungkin kurang menggalakkan pengundi BN menyokong calon ditengahkan,” katanya kepada FMT.

Fauzi berkata, pertikaian umum boleh menimbulkan kucar-kacir terhadap kestabilan kerajaan perpaduan pada PRU16, jika ia belum diselesaikan.

“PH sepatutnya bimbang dengan MCA sangat terbuka menunjukkan penolakan. Tidak bolehkah perkara seperti itu tidak didedahkan kepada umum?

“Tidak ambil peduli kepada kesepaduan memberi petanda buruk kepada kerjasama jangka panjang antara PH dan BN.”

Pada Selasa, Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor berkata keputusan MCA tidak berkempen akan memberi manfaat kepada gabungan itu, dan PN sedia mengambil peluang susulan perbalahan antara MCA dan PH, pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei.

Minggu lalu, MCA memutuskan tidak akan berkempen jika calon bukan daripada BN.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, akan berlaku pertembungan sengit pada PRK Kuala Kubu Baharu. “Sokongan pengundi MCA walaupun kecil, berkemungkinan besar cukup kritikal,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata ketiadaan MCA hanya memberi kesan kecil kepada pengundi bukan Melayu.

“Pengaruh MCA dalam BN dan senario politik nasional yang lebih luas adalah minima, memberi PN sedikit kelebihan namun bukanlah sampai berlaku peralihan keputusan pilihan raya,” katanya.



Sumber | FMT Malaysia 














........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Seruan ‘move forward’ Teo tak ikhlas, kata bekas naib presiden MCA

Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching sepatutnya memberitahu pimpinannya supaya berhenti bermusuhan, kata Ti Lian Ker.



PETALING JAYA: Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker menyindir seruan “tidak ikhlas” pemimpin DAP yang mahu dua parti itu “bergerak ke hadapan” susulan pertikaian masa lalu.

Ti berkata, apa diungkapkan Teo Nie Ching dirasakan tidak ikhlas dan kedengaran kosong memandangkan DAP masih lagi “menyerang” MCA.

Sebelum ini, Teo yang juga setiausaha publisiti DAP berkata dua parti berkenaan perlu bergerak ke hadapan dan terus bekerja untuk memberikan yang terbaik demi memastikan kejayaan kerajaan perpaduan.

“Adakah DAP hanya bercakap tentang kematangan dan perpaduan apabila sesuai kehendak mereka?” kata Ti. “MCA menggesa politik matang, kesederhanaan, dan perpaduan sejak berdekad, namun DAP berterusan dengan mentaliti terjajah apabila melibatkan MCA,” katanya kepada FMT.

Teo menyeru kepada “pemimpin yang matang”, ketika mempertahankan calon Pakatan Harapan PRK Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao, susulan penyebaran semula klip video lama, memaparkan beliau mengkritik BN.

Ti menjangkakan DAP akan berterusan menyerang partinya demi kelebihan politik, namun akan menggesa gencatan jika ia sesuai dengan politik mereka.

Katanya, seruan “bergerak ke hadapan” atas alasan itu tidak memberi sebarang perbezaan.

“Mereka berterusan menyerang MCA baik sekarang dan sebelum ini. Baru-baru ini Loke dan sebelum ini, Kok,” katanya merujuk Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Naib Pengerusi Teresa Kok.

Beliau berkata, mungkin Teo patut memberitahu kepada pimpinannya supaya berhenti bermusuhan terlebih dulu.

Ti menuduh DAP lebih memaafkan terhadap Umno, yang sebelum ini dikritik keras mereka atas dakwaan penyelewengan, tetapi tidak ada masalah dalam menyerang MCA.

Katanya, DAP dikatakan berhasrat menggantikan MCA sebagai sekutu Umno, justeru atas sebab itu berulang kali mahu parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN).


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Sijil saya dari Universiti Malaysia Pahang bukan Sri Lanka, kata calon PN

Khairul Azhari Saut menyifatkan pertikaian mengenai latar belakang pendidikannya sebagai ‘ujian’ calon bertanding. 


PETALING JAYA: Calon Perikatan Nasional (PN) PRK Kuala Kubu Baharu Khairul Azhari Saut meminta pihak yang mempertikai kelayakan akademiknya menghubungi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk pengesahan.

Pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor menyifatkan pertikaian mengenai latar belakang pendidikannya sebagai “ujian” calon bertanding.

“Saya diserang secara peribadi berhubung kelayakan akademik. Saya tidak kisah kerana tidak berbohong dan sijil yang saya serahkan bukan dari Sri Lanka ke Vietnam. Sijil yang saya dapat adalah dari Malaysia sendiri, dari Universiti Malaysia Pahang, mereka boleh hubungi universiti untuk pengesahan.

“Apa yang saya hadapi sekarang ini hanyalah ujian, jadi kita tidak boleh salahkan mereka kerana menguji saya sebelum pilihan raya ini, macam-macam halangan akan berlaku,” katanya dalam ceramah kelompok PN di Hulu Selangor, malam tadi, menurut Berita Harian.

Sebelum ini, poster biodata Khairul menjadi pertikaian apabila didakwa tidak mempunyai ijazah tetapi memiliki sarjana dari universiti tempatan.

Berdasarkan maklumat tertera, beliau memperoleh diploma eksekutif pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, sebelum disusuli ijazah sarjana eksekutif pengurusan perniagaan dari UMPSA dua tahun kemudian.

Sementara itu, Pengerusi PN Selangor, Azmin Ali, berkata pihaknya berpuas hati dengan latar belakang pendidikan Khairul malah sudah melakukan pengesahan ketat berhubung perkara tersebut.

Katanya, sijil sedemikian memang dikeluarkan banyak universiti sama ada tempatan dan antarabangsa yang ditawarkan kepada mereka mempunyai pengalaman bekerja sekian lama dan ingin menyambung pengajian dalam bidang pengkhususan tertentu melalui diploma atau sarjana eksekutif.

“Tidak perlulah calon kena ‘menggantung sarjananya’ ketika berkempen kerana parti (Bersatu) sudah membuat saringan cukup ketat,” katanya kepada media selepas ceramah itu.


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Selesai isu rumah kami pilih kamu’, pengundi India beritahu bakal Adun KKB

Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainudin (PRM) akan menjadi pilihan pengundi Kuala Kubu Baharu pada PRK 11 Mei.


HULU SELANGOR: Pengundi India di Kuala Kubu Baharu mahu dua isu utama iaitu perumahan dan pekerjaan membelenggu komuniti berkenaan di DUN itu diselesaikan.

Justeru, kebanyakan mereka mengambil sikap tunggu dan lihat tawaran daripada parti bertanding pada PRK itu sebelum membuat pilihan 11 Mei ini.

Pengundi India yang merangkumi 18% daripada 40,226 pemilih layak mengundi boleh menjadi penentu sama ada Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan kerusi berkenaan atau dirampas Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas.

Pesara kerajaan, K Gopal, 59, berpandangan isu perumahan antara dihadapi masyarakat India yang kebanyakannya menyewa termasuk keluarganya.

Katanya, tidak banyak rumah mampu milik dan kos rendah disediakan terutama untuk mereka.

“Masalah pekerjaan juga harus diutamakan. Sekarang banyak kerja seperti telah diambil oleh warga asing, contohnya kerja pembersihan di premis kerajaan,” katanya kepada FMT.

S Rupah, 54, pula berharap parti bertanding dapat menawarkan pilihan yang boleh mengurangkan peningkatan kos sara hidup sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sekarang semua mahal, kesan kenaikan kos sara hidup perlu jadi keutamaan,” katanya.

Ada juga segelintir pengundi India mendakwa “tidak teruja” untuk mengundi dengan alasan banyak janji “ditabur” sebelum ini gagal ditunaikan.

M Ruben, 51, mendakwa parti politik utama sudah diberi peluang memerintah baik di peringkat persekutuan atau negeri, namun nasib masyarakat India masih belum berubah sehingga kini.

“Saya tak teruja pun dengan pilihan raya ini, ada juga mereka yang tinggal di luar enggan balik mengundi,” dakwanya.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH yang mempertaruhkan Pang Sock Tao daripada DAP, Khairul Azhari Saut (Bersatu) membawa cabaran PN, Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

DUN Kuala Kubu Baharu adalah kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46%, Cina (30%), India (18%) dan lain-lain (5%).

Seramai 40,226 pemilih layak mengundi terdiri 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo