NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Malaysia telah jatuh ke dalam perangkap” - Apindo



Salah satu lobi perniagaan berpengaruh di Indonesia memberi amaran kepada kerajaannya agar tidak "jatuh ke dalam perangkap sama seperti Malaysia", di sebalik tekanan Washington ke atas Jakarta supaya bersetuju memeterai perjanjian perdagangan seperti yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.

Asosiasi Pengusaha Indonesia (Apindo), badan rasmi yang mewakili perniagaan milik swasta dan kerajaan di negara itu, mengeluarkan amaran tersebut ketika penentangan semakin meningkat terhadap Anwar supaya tidak meratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia-AS yang ditandatanganinya dengan Presiden Donald Trump, tindakan yang menurut pakar telah menjejaskan kebebasan perdagangan Malaysia dengan pelbagai syarat berat sebelah, dan dianggap belum pernah dilakukan mana-mana pemimpin sebelum ini.

Anne Patricia.
Anne Patricia.

"Malaysia telah jatuh ke dalam perangkap. Kami di Apindo menggesa kerajaan untuk hanya menumpukan perhatian kepada perdagangan dua hala dan pelaburan dalam rundingan. Sejak awal, tarif timbal balik berpunca daripada defisit (AS)," kata usahawan dan jurucakap Apindo, Anne Patricia seperti dilaporkan akhbar Jakarta Globe minggu ini.


Indonesia dilaporkan tidak bersetuju dengan beberapa komitmen yang cuba dipaksa ke atasnya oleh Washington dalam siri rundingan.

Ia berlaku ketika pentadbiran Anwar mengabaikan bantahan yang semakin meningkat kerana langkah beliau menerima pelbagai syarat berat sebelah ke atas Malaysia.

Bulan lalu, akhbar kewangan Financial Times melaporkan Indonesia menolak satu klausa "pil racun" yang memberikan kuasa kepada Washington membatalkan perjanjian perdagangan dan mengembalikan kadar tarif tinggi sekiranya Jakarta memeterai sebarang perjanjian dengan pihak lain yang menjejaskan kepentingan AS.

Ia merupakan klausa yang sama dipersetujui Anwar malah dipertahankan oleh pentadbirannya dalam menghadapi kecaman.

Ahli politik, pakar undang-undang dan ekonomi dari pelbagai kumpulan sebulat suara menganggap perjanjian itu telah menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Sejak 26 Oktober, Anwar menjadi sasaran kecaman selepas aksinya menari bersama Trump semasa majlis sambutan penuh warna-warni meraikan presiden AS itu sejurus mendarat di KLIA bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean.

Beberapa jam kemudian, media sosial Malaysia dibanjiri pelbagai sindiran apabila Trump menghadiahkannya sebatang pen Rumah Putih sejurus selepas menandatangani perjanjian ART.

Bagaimanapun, butiran perjanjian yang didedahkan secara rasmi di laman web White House mencetuskan kecaman lebih serius.

'Jangan terperangkap dengan jabat tangan'

Apa yang menjadi titik kemarahan orang ramai ialah peruntukan yang mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi melibatkan AS.

Ia menyatakan bahawa jika Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas sebab keselamatan negara, Malaysia "hendaklah menerima pakai atau mengekalkan langkah dengan kesan sekatan yang setara", sekali gus menamatkan dasar luar Malaysia yang telah lama dipegang iaitu tidak berpihak dan mencerminkan sekatan AS terhadap negara lain.

Pelbagai tokoh terkemuka mewakili kepentingan berbeza tampil memberi amaran kepada Anwar agar tidak mengesahkan perjanjian itu, dalam bentuk ratusan laporan polis dan rancangan mengambil tindakan undang-undang terhadap perdana menteri, menuduhnya melakukan sabotaj ekonomi dan menggadai kedaulatan negara.

Pengkritik termasuk pakar ekonomi, veteran kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan bekas peguam negara.

"Saya percaya tindakan tersebut telah dilakukan tanpa mengambil kira sepenuhnya kepentingan negara dan merupakan suatu tindakan yang pada pandangan saya boleh dianggap sebagai tindakan oleh seseorang yang tidak mengendahkan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, serta berpotensi mengheret negara ke dalam keadaan di mana Malaysia digadaikan kepada pengaruh kuasa asing," kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam laporan polis pada 2 Disember.

Pada 5 Disember, Jeneral Borhan Ahmad, bekas panglima ATM ke-12, mengumumkan rancangan membawa isu itu kepada perhatian Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, bekas peguam negara Tommy Thomas melancarkan serangan tajam terhadap Anwar dan semua yang terlibat merundingkan draf perjanjian itu.

"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya.

Rusuhan pada Ogos yang menyaksikan rakyat Indonesia turun menyatakan rasa marah terhadap ketidakadilan ekonomi negara itu dilihat sebagai pengajaran buat Presiden Prabowo Subianto.

Ramai yang beranggapan Prabowo bernasib baik kerana rusuhan itu tidak merebak menjadi pergerakan besar-besaran untuk menumbangkan kerajaannya, justeru beliau tidak mungkin mengambil risiko menandatangani perjanjian berat sebelah dan kemudian dituduh menjejaskan kedaulatan.

"Kedaulatan bukanlah sesuatu yang boleh kita tolak ansur," kata Apindo.

"Kita tidak boleh terperangkap dengan jabat tangan. Ini mengenai perdagangan dan pelaburan. Ia tidak ada kena-mengena dengan politik."



Sumber | MalaysiaNow 











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo