BANGI, 26 JAMADILAKHIR – Setiausaha Agung UMNO mendedahkan sentimen rakyat dalam kalangan netizen yang mempersoalkan pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Kabinet, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berbangsa Cina dari DAP.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat turut mempersoalkan Timbalan Menteri di portfolio yang sama juga berbangsa Cina dari Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan untuk Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan,” katanya dalam tulisan bertajuk Kabinet Madani: Fakta dan sentimen dalam Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi turut memperincikan jumlah jawatan menteri dan timbalan menteri dari segi komposisi kaum dan parti-parti gabungan Kerjasama Kerajaan Madani.
Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, Hannah Yeoh dari DAP dipindahkan dari Kementerian Belia dan Sukan ke portfolio baharu yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Timbalannya yang juga muka baharu dalam kerajaan ialah Datuk Lo Su Fui dari parti GRS.
Asyraf Wajdi juga membangkitkan mengenai sentimen rakyat berhubung pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) daripada personaliti yang penuh kontroversi dalam isu Zara Qairina Mahathir.
Zara Qairina ialah pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Sabah yang pada Julai lalu, ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Katanya, sentimen itu juga membabitkan hantaran lantikan baharu itu berkaitan hutang scam emas RM14 juta, serta isu amalan doa dan ibadah.
Dalam pengumuman Anwar semalam, aktivis masyarakat, Marhamah Rosli, dilantik memegang jawatan itu menggantikan Dr Zulkifli Hasan yang dinaikkan pangkat sebagai menteri di portfolio yang sama.
Satu lagi sentimen rakyat yang didedahkan oleh Asyraf Wajdi ialah perlantikan sosok aktivis PKR sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang paling lantang menuntut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu.
Katanya, rakyat mempersoalkan sama ada lantikan baharu itu mampu merealisasikan agenda tersebut.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim yang sebelum ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam rombakan semalam.
“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen yang kuat berlegar di ruangan media sosial sejak pengumuman semalam. Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment