KUALA LUMPUR – Kuasa Melayu dan Islam hanya boleh dikembalikan ke Putrajaya sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional khususnya UMNO dan PAS tidak bertembung dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO dan PAS perlu mengelak meletakkan calon masing-masing di kerusi Parlimen sama jika tidak mahu Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah.
“Yang penting bagi saya ialah kembalikan kuasa Melayu, kalau nak kembalikan kuasa Melayu terutamanya di Selangor, kita janganlah bertembung tiga penjuru.
“PH letak calon, BN letak calon, PN letak calon, kalau ini berlaku khususnya di Selangor, saya nampak PH dan DAP akan menang.
“Untuk pastikan kembali kuasa Melayu, PAS dengan UMNO jangan bertembung, jika tidak, undi Melayu akan berpecah dan PH akan menang dalam pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Tanjong Karang, baru-baru ini.
Pada 16 Mac lalu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengemukakan surat rayuan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu pertemuan bagi menyertai semula parti Melayu itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Terdahulu, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pada Januari 2023.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar sebelum dipecat daripada parti.
Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang tidak menafikan banyak usaha dilakukan pemimpin politik untuk menyatupadukan orang Melayu termasuk terbaru inisiatif Rumah Bangsa yang digagaskan UMNO.
“Saya tengok memang banyaklah usaha untuk menyatupadukan Melayu, saya tak nafikan, kita juga ada payung Melayu, kita juga ada rumah Melayu.
“Jadi apa juga nama yang diberi, satu matlamat je lah, kalau banyak juga rumah pun tak jadi, saya nampak rumah ini satu saja, bahawa UMNO dan PAS jangan bertembung itu sahaja,” katanya.
Katanya, beliau berharap UMNO dan PAS terbuka untuk berbincang jika benar-benar serius untuk mengembalikan kuasa Melayu di Putrajaya kelak.
“Saya mengharapkan supaya perbincangan kerjasama antara UMNO dengan PAS ini supaya jangan bertembung ini akan menjadi kenyataan.
“Kalau ini kita boleh dikuatkan balik, macam kita tengok dulu semangat Muafakat Nasional, bila kita kuat, walaupun letak calon MCA, tapi MCA boleh menang di Tanjung Piai,” katanya.
Katanya lagi, Noh mengakui UMNO dan PAS merupakan dua parti Melayu Islam yang mempunyai kekuatan untuk menyatupadukan semua orang Melayu.
“Kekuatan dua parti Melayu ini memang kita tak nafikan, mereka tidak boleh bertembung.
“Kalau bertembung, jawapannya Melayu akan pecah, PH dan DAP akan kembali memerintah.
“UMNO dengan PAS jangan bertembung dan tidak boleh kerjasama dengan DAP dan jangan berkawan, jangan berpakat dengan DAP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment