KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli secara sinis dilihat ‘menikmati’ pertikaman lidah antara Naib Presiden parti itu, Datuk Seri R Ramanan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim ketika Konvensyen PKR Johor semalam.
Dalam hantaran terbaharu di media sosial hari ini, Rafizi menyindir ‘bahang’ politik yang semakin memuncak dalam parti sehingga mencetuskan perbalahan terbuka di pelbagai peringkat kepimpinan.
“Rupanya sebab politik PKR makin panas di semua peringkat dari konvensyen hingga ke mesyuarat agong tahunan. Saya tak tahu apa-apa sebab duduk kat rumah,” katanya.
Sindiran itu dibuat dalam nada santai namun sarat mesej politik susulan ketegangan dalaman parti yang kembali menjadi perhatian.
Beliau turut berseloroh pada awalnya menyangka suhu panas di rumah berpunca daripada cuaca sebelum menyedari ia sebenarnya ‘bahang’ politik PKR sendiri.
“Aku ingat suhu kat rumah ni panas sebab cuaca kat luar panas,” katanya dengan emoji ketawa.
Menurut Rafizi, menonton rancangan misteri pembunuhan lebih menyeronokkan kerana kononnya boleh menambah kemahiran mengenal pasti ‘siapa orang jahat sebenar’.
“Lebih baik tengok murder mystery sebab boleh tambah skill cari siapa orang jahat pembunuh sebenar. Selalunya pembunuh sebenar ini awal-awal nampak baik tapi last-last kantoi jugak,” katanya.
Beliau turut berseloroh pergolakan politik dalaman PKR memberi ‘peluru’ untuk beliau terus mengulas isu setiap minggu malah mengakui jika tiada isu politik, beliau mungkin hanya akan menghasilkan kandungan mengenai kucing peliharaannya.
Semalam, Konvensyen PKR Johor bertukar panas apabila Ramanan dan Hassan Karim saling bertikam lidah di hadapan perwakilan.
Pertelingkahan tercetus ketika Ramanan sedang berucap di pentas utama menyebabkan penganjur menghentikan siaran langsung secara tiba-tiba manakala pengamal media diiring keluar dari dewan.
Insiden itu berlaku apabila Hassan mencelah ucapan Ramanan dengan membantah kenyataan yang dianggap menyasarkan individu tertentu.
“Ini adalah konvensyen, bukan tempat untuk menyerang individu!” teriak Hassan yang kelihatan kesal.
Ramanan bagaimanapun mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan kesetiaan kepada parti mesti diutamakan.
“Apabila parti diserang, kita mesti mempertahankannya. Apa yang kita tidak boleh terima ialah serangan dari dalam,” kata Ramanan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment