GEORGE TOWN – Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong menyifatkan kenaikan mendadak pelbagai kos ketika ini sebagai bencana kos sara hidup berskala nasional yang berpunca daripada kegagalan dasar kerajaan.
Beliau mendakwa Kerajaan Perpaduan gagal mentadbir negara dengan berkesan apabila harga elektrik, diesel, bahan binaan, makanan dan kos pengangkutan terus meningkat sehingga menekan kehidupan rakyat.
Menurutnya, langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengurangkan kadar rebat Automatic Fuel Adjustment (AFA) kepada 0.47 sen bagi setiap kilowatt jam mulai April tidak menggambarkan keadaan sebenar walaupun kerajaan menyatakan pengguna di bawah 600 kilowatt jam tidak terjejas.
“Rakyat tidak hidup berdasarkan angka di atas kertas, tetapi berdasarkan bil yang perlu dibayar setiap bulan.
“Sedikit peningkatan penggunaan elektrik akan melonjakkan beban kewangan dan apabila kos elektrik perniagaan naik, pengguna akhirnya tetap menanggungnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau turut mengkritik kenaikan harga diesel di Semenanjung sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter yang menurutnya mencetuskan peningkatan kos dalam rantaian ekonomi termasuk bahan binaan.
Katanya, maklum balas industri menunjukkan harga perkakasan dan bahan binaan meningkat antara 30 hingga 50 peratus, sekali gus memberi kesan kepada sektor pembinaan serta menyebabkan harga rumah terus meningkat dan menyukarkan golongan muda memiliki kediaman.
“Kenaikan harga baja dijangka menjejaskan sektor pertanian dan mendorong peningkatan harga makanan dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Daripada ladang hingga ke meja makan, setiap rantaian bekalan sedang mengalami kenaikan kos, namun kerajaan masih gagal mengemukakan langkah penyelesaian yang benar-benar berkesan.
“Harga diesel yang tinggi turut meningkatkan kos operasi bas kilang, bas pelancongan dan bas sekolah sekurang-kurangnya 28 peratus, sekali gus menjadikan tekanan kos sara hidup lebih meluas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melakukan semakan menyeluruh terhadap mekanisme bahan api dan tarif elektrik, memperkukuh pemantauan harga serta memperkenalkan dasar penstabilan harga yang berkesan bagi menangani krisis kos sara hidup yang disifatkannya sebagai bersifat struktur dan sistemik. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment