KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan mesej dan visual yang tular di dalam media sosial kononnya terdapat kenaikan tarif elektrik bermula bulan ini.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat tersebut adalah tidak benar dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, sebarang pelarasan kos elektrik pada masa ini adalah tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan dalam sektor tenaga sejak Julai tahun lalu.
Jelasnya, kadar AFA adalah berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing dan diselaraskan secara bulanan melalui pengesahan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga (ST).
“TNB ingin menegaskan bahawa sebarang perubahan berkaitan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi oleh TNB melalui saluran yang sah.
“TNB komited untuk memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat dan telus,” katanya menerusi laman sosial Facebook TNB Careline malam ini.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut menambah, TNB akan melaporkan penyebaran maklumat tidak benar ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan; merujuk hanya kepada pengumuman rasmi daripada TNB dan menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui mesej (PM) di Facebook TNB Careline; mesej langsung (DM) ke X @Tenaga_Nasional atau menerusi e-mel ke CareLine@myTNB.my,” tambahnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment