MUAR, 5 April 2026 – Muhyiddin Yassin menegur Anwar Ibrahim susulan kenyataan Perdana Menteri yang melabel pengkritik kerajaan sebagai “bebal” dalam isu kenaikan kos hidup.
Bekas perdana menteri itu berkata Anwar sepatutnya menerima pandangan secara terbuka, bukan menyerang pihak yang membangkitkan kesan kenaikan harga bahan api terhadap rakyat.
Katanya, kritikan tidak hanya datang daripada pembangkang, malah turut disuarakan penyokong kerajaan sendiri yang berdepan tekanan ekonomi.
“Dalam keadaan sekarang, rakyat mahu penyelesaian, bukan jawapan berbentuk sindiran,” katanya pada rumah terbuka Aidilfitri di Pagoh.
Muhyiddin berkata pelbagai sektor termasuk pengangkutan dan pertanian kini terkesan, dan kerajaan perlu menunjukkan keupayaan sebenar mengurus krisis, bukannya bersikap defensif.
Semalam, Anwar mempertahankan dasar subsidi kerajaan, termasuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dan menanggung kira-kira RM6 bilion subsidi diesel setiap bulan.
Bagaimanapun, kenyataan itu mencetuskan perdebatan apabila orang ramai terus mempersoalkan keberkesanan langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.

No comments
Post a Comment