NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi sila berundur secara terhormat - PKR Melaka



MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menggesa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berundur secara terhormat susulan serangan terbuka berterusan terhadap parti.

Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Mohd Khuzaire Mohd Kamal berkata, tindakan bekas Timbalan Presiden itu mencemarkan nama baik parti serta dilihat sebagai cubaan terancang untuk merosakkan imej Perdana Menteri merangkap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Naratif yang dibawa bukan sahaja mengelirukan, malah mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti tanpa asas yang kukuh.

“Perbuatan ini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, tetapi telah melangkaui batas dengan membawa implikasi besar terhadap kestabilan parti dan keyakinan rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan apabila tindakan itu dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi yang sengaja mahu melemahkan parti dari dalam.

Ujarnya, dalam suasana parti dan kerajaan memerlukan kekuatan serta kesatuan, pendekatan yang diambil oleh Rafizi hanya membuka ruang kepada musuh politik untuk mengambil kesempatan.

Tambah beliau, parti tidak menolak perbezaan pendapat, namun ia mesti disalurkan melalui saluran yang betul dan berlandaskan disiplin organisasi.

“Serangan terbuka yang berterusan ini menimbulkan persoalan serius terhadap niat sebenar beliau, sama ada benar-benar demi reformasi atau sekadar didorong kepentingan peribadi.

“Justeru, jika beliau sudah tidak lagi selari dengan perjuangan dan prinsip parti, maka tindakan paling bermaruah adalah untuk meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.

“Terus memainkan naratif yang merosakkan hanya akan memudaratkan parti dan akhirnya memakan diri sendiri,” katanya.

Tegasnya, PKR Melaka akan terus berdiri teguh mempertahankan kepimpinan parti serta menolak sebarang usaha yang boleh menggugat perpaduan dan kestabilan organisasi.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo