KUALA LUMPUR — Kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli yang membayangkan program solat Jumaat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen Pandan sebagai petanda pilihan raya bakal diadakan mengundang tempelak keras daripada bekas pimpinan parti itu, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Bekas Ahli Parlimen Kapar itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas, malah menuduh Rafizi sengaja mencetuskan persepsi liar kononnya akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) sehingga membolehkan pelucutan jawatan Ahli Parlimen.
“Lawatan itu seolah-olah yang diramalkan oleh Rafizi yang bersarat dengan dukun-dukunya itu mengatakan bahawa pilihan raya akan berlaku dan membolehkan yang dia dilucutkan jawatan Ahli Parlimen.
“Saya nak beritahu dengan Rafizi, apa tengik sangat kau ni? 36 bulan tu dah berlalu mana boleh kita adakan PRK yang telah matang 36 bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam satu podcast pada Jumaat, Rafizi mendakwa bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berusaha mendesak supaya diadakan satu PRK di Parlimen Pandan, dengan merujuk kepada pelbagai desakan agar beliau meletakkan jawatan susulan kritikannya terhadap kerajaan dan parti.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut mendakwa partinya sedang mengambil langkah untuk meletakkan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai calon dalam PRK yang didakwa itu.
Untuk kerusi Rafizi dikosongkan, beliau perlu sama ada meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, meletakkan jawatan daripada PKR atau menyertai parti lain, yang sekali gus akan mencetuskan pelaksanaan undang-undang anti lompat parti.
Jika beliau dipecat oleh PKR, bekas Menteri Ekonomi itu akan kekal memegang kerusi Parlimennya.
Mengulas lanjut, Abdullah Sani berkata, tempoh matang 36 bulan sudah pun berlalu dan tidak timbul soal PRK seperti yang digembar-gemburkan Rafizi.
“Tunggulah pilihan raya akan datang. Nanti kau nak sibuk bila apa-apa yang dibuat oleh Perdana Menteri, kau nak ulas. Ulasan kau ni sebenarnya menyemakkan dan pandangan kau, di pandangan kau, kau langsung tidak memikirkan pasal sebenar.
“Ini yang mendorong kepada banyak cakap tak betul,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa Perdana Menteri turun ke lapangan untuk mendekati rakyat dan memahami isu semasa yang kritikal, bukannya berpolitik seperti didakwa.
“Jadi apa yang dilihat di sini saya nak beritahu dengan Rafizi, jagalah kawasan Pandan, jagalah rakyat kawasan kau tu dan janganlah nak menyibuk apa yang telah dibuat oleh Perdana Menteri untuk mendekatkan kepada rakyat dan memikirkan negara yang kadang kritikal waktu ini. Kau tidak membantu.
“Malah kau meroyan tak entahlah. Saya nak beritahu bahawa keperluan untuk mengadakan pilihan raya ni tidak perlu. Tiba-tiba nama Tengku Zafrul yang kau kaitkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan mengaitkan Tengku Zafrul dalam isu tersebut yang menurutnya seolah-olah cubaan melaga-lagakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tengku Zafrul yang dikaitkan dan kau laga-lagakan ni dengan komponen-komponen yang ada perpaduan. Ni masalah apa kau ni sebenarnya ni? Saya tak faham. Dan inilah yang berlaku.
“Inilah yang berlaku apabila orang yang hilang tempat berpaut kemudian menganggap dirinya perkasa sedangkan senjatanya tak ada. Inilah dia kau, namanya Rafizi Ramli,” katanya. — MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment