1. Pernah suatu ketika Saidina Umar bergaduh dengan Saidina Ubai bin Ka’ab dalam satu urusan sehingga Umar mencadangkan agar dilantik seorang hakim di antara mereka berdua. Lalu mereka bersetuju untuk melantik Saidina Zaid bin Thabit sebagai hakim.
2. Setibanya di rumah Zaid, Umar menceritakan perihal tersebut. Kata al-Sha’bi:
أَتَيْنَاكَ لِتَحْكُمَ بَيْنَنَا، وَفِي بَيْتِهِ يُؤْتَى الْحُكْمُ
“Kami datang kepada engkau agar engkau memberikan hukum dalam masalah kami dan dirumahnya biasa diberi pandangan mengenai hukum. (al-Baihaqi, Sunan al-Kubra)
3. Lalu Zaid segera mendudukkan Umar di sisinya. Tindakan ini menyebabkan Umar marah lalu berkata:
هَذَا أَوَّلُ جَوْرٍ جَرَى فِي حُكْمِكَ، أَجْلِسْنِي وَخَصْمِي مَجْلِسًا
“Ini adalah ketidakadilan pertama yang engkau lakukan dalam majlis ini (kerana Zaid memberikan Umar tempat duduk di sisinya, sedang Ubai duduk di tempat lain. Lalu Umar berkata): Sepatutnya engkau meletakkan aku dan lawanku di tempat duduk yang sama (bukan di sisi mu).” (Sunan al-Kubra)
4. Perhatikan di sini bagaimana Umar benar-benar menjaga proses kehakiman itu sehingga tidak mahu dilihat berlaku ketidakadilan dalam proses perundangan tersebut. Umar tidak mahu dia dilihat supaya beliau diberikan keistimewaan berbanding lawannya.
5. Samalah seperti yang berlaku pada hari ini setiap pendakwaan biarlah dilihat adil dan tidak diberikan keistimewaan yang tertentu pada orang yang tertentu sahaja.
6. Malah Saidina Umar dikatakan sangat berhati-hati dalam urusan perkara yang melibatkan keluarganya. Pernah suatu hari beliau turun meninjau di pasar dan mendapati seekor unta yang sihat dan cantik. Lalu Umar bertanya: Milik siapakah unta ini? Orang awam menjawab: Ini adalah unta Abdullah bin Umar (iaitu anak Saidina Umar).
7. Umar segera memanggil anaknya Abdullah dan meminta agar unta ini segera dijual. Alasannya adalah Umar tidak mahu dilihat anaknya mendapat kelebihan memiliki unta yang sihat dan cantik kerana hubungannya dengan ayahnya sebagai seorang pemimpin negara. Kisah ini ditulis dalam buku 40 Hadis tentang Politik dan Kepimpinan. Boleh muat turun di sini:
8. Betapa Umar menjaga sesuatu urusan agar ia tidak dilihat berat sebelah dan tidak adil. Ini sangat penting bagi menampakkan proses keadilan itu benar-benar dijaga dan tidak dicemari dengan unsur-unsur yang meragukan.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

No comments
Post a Comment