- Bekas Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie Putrajaya, Prof Madya Datuk Muhamad Asri Abdullah menegaskan rakyat mengharapkan semua cabang kuasa – legislatif, eksekutif dan kehakiman – melaksanakan tugas masing-masing secara adil tanpa campur tangan antara satu sama lain.
- Menurut beliau, kemuncak keadilan terletak di mahkamah, namun ia berkait rapat dengan keseluruhan rantaian perundangan termasuk penguatkuasaan, pendakwaan, perbicaraan dan pelaksanaan perintah.
- “Oleh sebab itu, rangkaian pelaksanaan perundangan dan kehakiman ini bukan sahaja perlu berlaku adil tetapi perlu mengelakkan sesuatu perkara yang menjadi punca membawa tohmahan atau tanggapan ianya tidak adil,” katanya.
PUTRAJAYA – Tindakan seorang Timbalan Menteri mengiringi tertuduh ke mahkamah wajar dielakkan kerana boleh menimbulkan tohmahan serta menjejaskan keyakinan terhadap sistem keadilan, kata Bekas Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie Putrajaya, Prof Madya Datuk Muhamad Asri Abdullah.
Muhamad Asri menegaskan rakyat mengharapkan semua cabang kuasa – legislatif, eksekutif dan kehakiman – melaksanakan tugas masing-masing secara adil tanpa campur tangan antara satu sama lain.
Menurut beliau, kemuncak keadilan terletak di mahkamah, namun ia berkait rapat dengan keseluruhan rantaian perundangan termasuk penguatkuasaan, pendakwaan, perbicaraan dan pelaksanaan perintah.
“Oleh sebab itu, rangkaian pelaksanaan perundangan dan kehakiman ini bukan sahaja perlu berlaku adil tetapi perlu mengelakkan sesuatu perkara yang menjadi punca membawa tohmahan atau tanggapan ianya tidak adil,” katanya.
Beliau menjelaskan konsep keadilan dalam perbicaraan berteraskan prinsip keadilan asasi (natural justice) yang menjamin perbicaraan yang jujur, tidak berat sebelah dan telus, termasuk hak untuk didengar (audi alteram partem) serta larangan berat sebelah (nemo judex in causa sua).
Katanya, prinsip undang-undang “justice must not only be done, but must also be seen to be done” menekankan bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah mesti dilihat dilaksanakan oleh masyarakat.
Mengulas peranan menteri dan timbalan menteri, beliau berkata mereka adalah sebahagian daripada badan eksekutif yang bertanggungjawab merangka, melaksana dan mengurus dasar kerajaan, termasuk hal ehwal perundangan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa sebarang penglibatan pihak eksekutif dalam urusan berkaitan mahkamah, sama ada secara langsung atau tidak langsung, boleh menimbulkan persepsi tidak wajar.
“Dalam sebuah negara, mahkamah perlulah mempunyai kebebasan dalam menjalankan tanggungjawabnya menegakkan keadilan tanpa berasa takut atau dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.
Menurutnya, walaupun pegawai seperti majistret, Timbalan Pendakwa Raya dan Pegawai Pendakwa adalah penjawat awam yang tertakluk kepada arahan kerajaan, kebebasan institusi kehakiman tetap perlu dihormati oleh semua pihak.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang tindakan yang boleh memberi tekanan atau menimbulkan rasa tidak selesa kepada pihak yang melaksanakan keadilan perlu dielakkan, termasuk mengiringi tertuduh ke mahkamah oleh pihak berkepentingan.
“Pentadbiran keadilan ini juga perlu dibuktikan dan ditunjukkan kepada masyarakat atau orang ramai untuk membina keyakinan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa tertuduh perlu dihormati dan dilayan secara sama rata di mahkamah, merujuk kepada kisah keadilan Islam melibatkan Saidina Ali yang menegur hakim kerana membezakan layanan antara pihak dalam perbicaraan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kebebasan kehakiman dalam sistem demokrasi memerlukan badan kehakiman bebas daripada pengaruh politik serta bersikap berkecuali.
“Mahkamah tidak wajar terseret sama dalam pergelutan politik tetapi sebaliknya semata-mata menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa kehilangan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman boleh membawa kesan buruk kepada negara.
“Jika kepercayaan masyarakat hilang, rakyat akan bertindak sendiri dan menjadi hakim. Ini akan membawa masyarakat dan negara porak peranda serta membawa kepada kezaliman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati bidang kuasa masing-masing dan sentiasa berhati-hati agar tidak melampaui batas yang ditetapkan. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment