NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terima kasih PMX mudahkan tugas PN untuk PRU16




ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berpandangan rombakan Kabinet Kerajaan Madani tidak akan mampu membawa perubahan signifikan kepada rakyat dan negara.
 
Beliau berkata, umum mengetahui Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melantik barisan Kabinet, namun persoalannya sama ada kuasa itu benar-benar dimanfaatkan sebaiknya atau sebaliknya.
 
Menurut beliau, jika diukur berdasarkan reaksi rakyat Malaysia ketika ini, jelas mereka tidak seghairah ketika barisan Kabinet pada 2022 diperkenalkan, walaupun Kabinet ketika itu disifatkan sebagai ‘cacat’.
 
Ia kerana kerajaan yang dibentuk tidak mendapat mandat penuh rakyat dan merupakan kerajaan ‘perpaduan’ atau _‘marriage of convenience’_.
 
“Jika diukur dari segi prestasi, majoriti rakyat benar-benar kecewa dengan prestasi kerajaan hari ini. Terlalu banyak janji dimungkiri, manakala ketuanan rakyat dan reformasi yang dilaungkan lebih 20 tahun disifatkan sebagai retorik dan hipokrasi tertinggi,” ujarnya.
 
Beliau berkata, rombakan Kabinet itu jelas merupakan satu cubaan kerajaan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya, dengan titik tolak utama adalah kekalahan teruk PKR, DAP dan Umno di Sabah.
 
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan rakyat marah kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya.
 
Mengulas lanjut, Haim Hilman berkata DAP yang berada dalam keadaan terdesak untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina memainkan semula isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menekan Perdana Menteri dalam hal berkenaan.
 
“Untuk meredakan keadaan, PMX (Perdana Menteri) ‘menawarkan’ mereka apa yang mereka ‘idamkan’ selama ini. Percayalah, isu UEC ini akan sejuk sendiri dalam beberapa hari lagi,” kupasnya.
 
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh reaksi beberapa pemimpin Umno yang membuat bantahan terhadap pelantikan Ahli Parlimen DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, namun menyatakan bantahan itu akan hilang kerana Umno sendiri hidup atas ihsan DAP.
 
Beliau juga menegaskan bahawa Umno tidak mempunyai calon yang baik untuk ditawarkan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan perlu sedar jawatan-jawatan penting itu hilang daripada orang Melayu disebabkan kelemahan Umno sendiri.
 
“Pahit untuk diperkatakan tetapi amat jelas pemimpin Umno telah mengkhianati kepercayaan orang Melayu untuk memimpin dan memajukan mereka,” tempelaknya.
 
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila pemimpin Umno hari ini sanggup bersekongkol dengan seteru utama mereka sejak puluhan tahun lalu, iaitu DAP, demi kuasa, sekali gus menggadaikan sumpah perjuangan parti melibatkan Agama, Bangsa dan Tanah Air (AaBaTa).
 
Haim Hilman turut menegaskan rombakan Kabinet itu tidak akan mampu membawa perubahan bermakna kerana selain Perdana Menteri, kebanyakan menteri dan timbalan menteri daripada PKR dan DAP yang dilantik tidak mempunyai pengalaman baik sebagai timbalan menteri, apatah lagi sebagai menteri.
 
Manakala mereka daripada blok Umno pula katanya, walaupun mempunyai pengalaman, namun memiliki rekod buruk atau diketahui tidak berprestasi tinggi.
 
“Dengan kata lain, pelantikan menteri dan timbalan menteri daripada PH dan BN adalah berdasarkan jawatan yang disandang dalam parti,” jelasnya.
 
Beliau berkata, situasi itu bermakna rombakan Kabinet berkenaan tidak akan mampu meletakkan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani di kedudukan istimewa di hati rakyat Malaysia.
 
Menurutnya, terlalu banyak janji dimungkiri, terlalu banyak kerosakan dilakukan, terlalu banyak garis sensitif dilanggar serta terlalu banyak ketidakadilan berlaku terhadap negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Madani.
 
“Sesungguhnya rakyat memerhati,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
 
Sehubungan itu, beliau berkata Perikatan Nasional (PN) perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana rombakan Kabinet berkenaan hampir pasti tidak akan membawa sebarang magis.
 
“Mereka ini akan berkerja seperti biasa dan memanfaatkan posisi yang diberi ‘sebaiknya’.
 
“Terima kasih PMX kerana memudahkan tugas PN untuk PRU-16 (Pilihan Raya Umum ke-16). Ayuh PN khususnya PAS. Serlahkan dirimu untuk menjadi parti masa hadapan Malaysia!” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2025


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo