NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP pegang KUSKOP: Ancam Bumiputera?




KUALA LUMPUR
:  Tan Sri Noh Omar menyuarakan kebimbangan terhadap penyerahan portfolio Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kepada seorang menteri daripada DAP.
 
Menurut mantan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, DAP adalah sebuah parti yang sering memperjuangkan prinsip kesamarataan dan mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
 
Beliau berkata, pelantikan itu menimbulkan persoalan besar berkaitan masa depan pembelaan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera serta sama ada semangat asal penubuhan kementerian itu akan terus dipertahankan.
 
Noh berkata, antara persoalan yang wajar dijawab ialah kemungkinan berlakunya perubahan dasar secara senyap atas nama ‘kesamarataan baharu’ serta sama ada pelantikan berkenaan merupakan sebahagian daripada kompromi politik dalam Kerajaan PH-BN.
 
“Kita tidak menuduh sesiapa, namun kita juga tidak boleh berdiam diri. Amanah dan perjuangan yang dibina sejak puluhan tahun atas nama DEB dan agenda Bumiputera tidak boleh diketepikan semata-mata kerana keperluan politik semasa,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
 
Mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, rakyat berhak mendapatkan jaminan bahawa dasar, fungsi dan roh KUSKOP akan terus kekal selari dengan matlamat asal penubuhannya.
 
Beliau berharap kerajaan dapat memberikan penjelasan yang tuntas serta komitmen yang jelas bahawa agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera, koperasi dan PMKS akan terus diperkukuh, bukannya dikaburkan.
 
Menurutnya, masa depan ekonomi Bumiputera merupakan sebahagian daripada asas kestabilan dan kemakmuran negara, tetapi pelantikan menteri baharu KUSKOP dalam rombakan Kabinet menimbulkan kejutan dan persoalan dalam kalangan usahawan Bumiputera.
 
Sebagai bekas menteri yang pernah dua kali menerajui kementerian itu pada 2008 dan 2021, beliau berkata, pandangan yang dikemukakan adalah berdasarkan pengalaman serta keprihatinan terhadap masa depan usahawan Bumiputera.
 
Beliau menegaskan, matlamat utama KUSKOP adalah jelas iaitu memperkasa usahawan Bumiputera, membangunkan ekosistem keusahawanan negara serta menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan menjelang 2030.
 
Menurutnya, fokus berkenaan diterjemahkan melalui pemerkasaan PMKS, peningkatan sumbangan usahawan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
 
Ia serta pelaksanaan program latihan, pembiayaan dan pembangunan kemahiran berteknologi tinggi selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PUTERA35).
 
Noh berkata, sepanjang beliau menerajui kementerian itu, KUSKOP yang sebelum ini dikenali sebagai MECD diperkukuh dengan pelbagai agensi strategik termasuk TEKUN Nasional, SME Corp dan SME Bank.
 
Ia termasuk Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, UDA Holdings, INSKEN dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
 
Menurutnya, agensi berkenaan majoritinya memberi manfaat langsung kepada usahawan dan koperasi Bumiputera khususnya golongan mikro, kecil dan sederhana, selain Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) yang bertanggungjawab memberi penarafan status Bumiputera turut diletakkan di bawah KUSKOP.
 
“Usaha ini dibina secara konsisten demi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2025




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo