NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadangan mansuh PTPTN populis, Tidak realistik – Ahli Akademik



  • Pakar akademik gig MINDA-UKM, Tarmizi Anuwar, berkata pendidikan tinggi percuma menuntut peruntukan besar secara berterusan, asas percukaian yang luas dan stabil, selain keutamaan belanjawan yang tidak menjejaskan sektor kritikal lain seperti kesihatan dan perlindungan sosial.
  • “Jika dipaksa juga, ia boleh menjejaskan kewangan negara dan kualiti universiti,” katanya.
  • “Di sebalik tuntutan populis, isu ini berdepan dilema antara keinginan akses tanpa kos dan kebimbangan teknokrat mengenai kestabilan dana awam serta keadilan antara generasi,” – Prof. Dr. Amir Akramin Shafie

KUALA LUMPUR – Cadangan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pelaksanaan pendidikan tinggi percuma sepenuhnya dinilai tidak realistik dan tidak mampan dalam konteks ekonomi Malaysia ketika ini, menurut dua ahli akademik.

Pakar akademik gig MINDA-UKM, Tarmizi Anuwar, berkata walaupun secara teori kerajaan boleh melaksanakannya, Malaysia masih tidak memiliki kapasiti fiskal yang mencukupi.

Katanya, pendidikan tinggi percuma menuntut peruntukan besar secara berterusan, asas percukaian yang luas dan stabil, selain keutamaan belanjawan yang tidak menjejaskan sektor kritikal lain seperti kesihatan dan perlindungan sosial.

Beliau menegaskan hanya sekitar 15 peratus tenaga kerja negara membayar cukai pendapatan, sekali gus menjadikan kos pendidikan percuma ditanggung oleh kelompok kecil pembayar cukai.

“Jika dipaksa juga, ia boleh menjejaskan kewangan negara dan kualiti universiti,” katanya.

Sebaliknya, Tarmizi menekankan tiga pendekatan lebih realistik: bayaran balik berasaskan pendapatan, bantuan bersasar untuk keluarga B40 dan M40, serta pelepasan khas buat graduan sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan TVET.

Kerajaan dalam Belanjawan 2026 telah pun menawarkan pendidikan percuma PTPTN kepada kira-kira 5,800 pelajar keluarga miskin dengan peruntukan RM120 juta setahun.

“Pendidikan tinggi mesti mampu diakses, tetapi tidak semestinya percuma untuk semua. PTPTN bukan gagal kerana konsepnya salah, tetapi kerana pelaksanaannya lemah,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Utama, Pejabat Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Amir Akramin Shafie turut berpandangan bahawa pemansuhan PTPTN dan penyediaan pendidikan percuma penuh memerlukan rombakan struktur percukaian negara secara radikal.

Katanya, tanpa sumber pendapatan baharu yang mapan, pelaksanaan dasar tersebut berisiko menjejaskan kualiti akademik universiti serta peruntukan sektor kritikal lain dalam jangka panjang.

“Di sebalik tuntutan populis, isu ini berdepan dilema antara keinginan akses tanpa kos dan kebimbangan teknokrat mengenai kestabilan dana awam serta keadilan antara generasi,” katanya.

Beliau mencadangkan penambahbaikan mekanisme bayaran balik berasaskan pendapatan serta peluasan skim wakaf dan biasiswa korporat sebagai alternatif pragmatik tanpa menggugat kestabilan dana pendidikan negara.

Kedua-dua ahli akademik itu sepakat bahawa dasar pendidikan tinggi percuma secara total tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan fiskal negara hari ini, dan pendekatan lebih tersasar serta mampan perlu diberi keutamaan.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo