NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berita Gembira Penjawat Awam: Kenaikan Gaji Fasa Dua Masuk Akaun 22 Januari

KUALA LUMPUR, 11 Dis 2025 – Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bakal menerima pelarasan gaji fasa dua melalui pembayaran gaji bulan Januari 2026, yang akan dibayar pada 22 Januari 2026.

Timbalan Pengarah Dasar Gaji, Bahagian Gaji dan Elaun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mohd Shahir Shaari, berkata kenaikan gaji tersebut akan dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Disember 2025.

Beliau menjelaskan walaupun pelarasan gaji baharu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, pembayaran hanya dibuat pada tarikh gaji bulan berkenaan.

Menurutnya, pelarasan gaji fasa dua ini merupakan kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024, dengan kadar keseluruhan:

  • 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P)
  • Tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT)

“Pada fasa ini, Kumpulan P&P akan menerima tambahan tujuh peratus, manakala KPT menerima tambahan tiga peratus,” katanya dalam program audio siar Kenaikan Gaji SSPA 2.0: Apa Perlu Pegawai Awam Tahu yang disiarkan menerusi Facebook dan YouTube JPA.

Pada fasa pertama, Kumpulan P&P menerima kenaikan lapan peratus, manakala KPT empat peratus, yang dibayar pada Disember 2024.

Mohd Shahir berkata penjawat awam yang tidak memilih SSPA atau tidak lagi berada dalam perkhidmatan pada 1 Januari 2026, sama ada kerana bersara atau ditamatkan perkhidmatan sebelum tarikh itu, tidak layak menerima pelarasan gaji fasa dua.

Bagaimanapun, bagi pegawai yang bersara pada 1 Januari 2026, mereka tidak layak menerima pelarasan gaji, sebaliknya akan menerima pelarasan pencen. Untuk pegawai yang meninggal dunia pada 1 Januari 2026, pelarasan gaji akan diberikan sebelum pelarasan pencen dibuat kepada waris.

Beliau turut menegaskan bahawa markah penilaian prestasi tahunan di bawah sistem MyPERFORMANCE, termasuk yang memperoleh markah kurang daripada 75 peratus, tidak menjejaskan kelayakan menerima pelarasan gaji fasa dua.

Namun, markah minimum 75 peratus masih diperlukan bagi pergerakan gaji tahunan.

Syarat utama kelayakan pelarasan gaji fasa dua ialah penjawat awam mestilah:

  1. Memilih skim SSPA, dan
  2. Berada dalam perkhidmatan awam pada 31 Disember 2025 dan 1 Januari 2026.

Mengenai penggunaan kalkulator SSPA, Mohd Shahir berkata ia boleh dijadikan rujukan umum, namun pengesahan sebenar tertakluk kepada rekod perkhidmatan dan gaji rasmi dalam buku perkhidmatan masing-masing.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja selaras dengan pelarasan gaji yang diberikan kerajaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember 2024, antara yang tertinggi dalam sejarah negara.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo