SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar sikap sinis segelintir pihak yang menyifatkan penganjuran Himpunan Tangkap Azam Baki sebagai usaha sia-sia dan tidak mendatangkan hasil.
Menjelang sehari sebelum himpunan itu berlangsung, beliau berkata, sindiran serta cemuhan sedemikian adalah lumrah setiap kali wujud usaha untuk memperbetulkan kepincangan dalam sistem serta menangani salah guna kuasa.
Menurutnya, perubahan figura politik melalui pilihan raya tidak akan memberi makna sekiranya sistem sedia ada masih gagal menjamin ketelusan.
“Ahli politik boleh silih berganti, tetapi jika sistem sedia ada tidak menjamin ketelusan, perkara yang sama akan terus berulang.
“Tukar kerajaan melalui pilihan raya tetapi keadaan masih sama. Figura yang sama masih boleh digunakan, cuma untuk mengejar musuh politik yang berbeza,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rafizi menzahirkan kekecewaan terhadap trend semasa apabila tindakan pemimpin sering berubah dan bercanggah dengan janji yang dibuat ketika berkempen sebaik sahaja memegang tampuk kuasa.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sesuatu yang baharu dan berkemungkinan besar akan terus berulang sekiranya tiada desakan ke arah reformasi sistem yang lebih menyeluruh.
Tegasnya, penglibatan rakyat dalam menyatakan pendirian amat penting bagi memastikan kelangsungan integriti negara untuk generasi akan datang.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap negara supaya hadir memberikan sokongan kepada himpunan berkenaan.
“Kita jumpa esok sekitar jam 3 petang,” ujarnya.
Himpunan Tangkap Azam Baki yang dijadualkan berlangsung esok di Dataran Merdeka dilihat sebagai manifestasi desakan terhadap ketelusan badan penguatkuasaan serta integriti sistem pentadbiran negara.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment