NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN Pahang gesa agihan peruntukan adil, jangan politikkan kebajikan rakyat



KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Pahang menggesa Kerajaan Negeri Pahang agar menyalurkan peruntukan bantuan rakyat secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira blok kerajaan mahupun pembangkang.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung peruntukan RM15,000 kepada setiap wakil rakyat namun cara agihannya amat mendukacitakan.

Menurutnya, bantuan bagi mendepani kesan ekonomi krisis Asia Barat itu dilapor hanya disalurkan kepada ADUN kerajaan dan Penyelaras DUN sahaja.

“Pendekatan ini menzahirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang masih bermain politik ketika rakyat sedang terhimpit dengan kesukaran hidup.

“Amalan sebegini bukan sahaja tidak menghormati mandat rakyat malah menimbulkan persepsi bantuan kebajikan dijadikan alat kepentingan politik pihak pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka berkata, kerajaan negeri sewajarnya mengambil teladan daripada pendekatan Kerajaan PN pada tahun 2020 yang menyalurkan bantuan kepada semua ahli Parlimen tanpa diskriminasi ketika mendepani krisis pandemik Covid-19.

“Kesempitan hidup rakyat hari ini tidak mengenal warna parti, bangsa mahupun kawasan memandangkan semua Adun berkhidmat untuk rakyat yang sama.

“Jika ada kebimbangan mengenai pemberian peruntukan secara sama rata akan menguatkan pembangkang, hakikatnya ketidakadilan itulah yang sering menimbulkan simpati rakyat terhadap pembangkang.

“Sejarah membuktikan kerajaan yang gagal berlaku adil akhirnya akan dihukum oleh rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, ketidakadilan bukan sahaja merosakkan kepercayaan rakyat tetapi juga menghilangkan keberkatan dalam pemerintahan.

“Kami menggesa agar pendekatan tersebut diperbetulkan segera bagi memastikan kebajikan rakyat tidak dipolitikkan demi kelangsungan kuasa semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pahang dilapor menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM15,000 seminggu kepada setiap ADUN untuk menggerakkan bantuan kepada rakyat.

Inisiatif itu bertujuan mempercepatkan penyaluran bantuan di peringkat kawasan. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo