NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang Johor persoal swasta urus parkir, sistem sudah dibangunkan kerajaan



JOHOR BAHRU – Pelantikan pihak swasta menguruskan sistem parkir di bandar raya ini daripada aplikasi MBJB Spot kepada sistem Parkmax@Johor bermula 1 Mei ini menimbulkan persoalan berhubung ketelusan selain memberi kesulitan kepada pengguna.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, sedangkan kemudahan dan sistem sedia ada sudah dibangunkan kerajaan tempatan.

“Langkah ini menimbulkan kebimbangan bahawa pengurusan aset awam yang sepatutnya memberi manfaat terus kepada rakyat akhirnya membuka ruang keuntungan kepada pihak luar.

“Keputusan seperti ini perlu dijelaskan secara telus agar rakyat memahami rasionalnya dan memastikan ia tidak merugikan kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pejuang Johor memandang serius rungutan rakyat berhubung pertukaran aplikasi tersebut yang berlaku dalam tempoh singkat.

Suraya mendakwa, keadaan itu menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pengguna, khususnya warga Johor Bahru yang bergantung kepada sistem parkir digital dalam urusan harian.

Katanya, kekerapan pertukaran aplikasi dalam tempoh yang terlalu singkat jelas mencerminkan kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan, sekali gus menimbulkan keresahan pengguna.

Selain itu katanya, isu baki kredit yang tidak boleh dipindahkan serta tempoh peralihan terlalu singkat membebankan rakyat dan dilihat tidak mesra pengguna.

Beliau berkata, pengguna sepatutnya diberi tempoh peralihan munasabah sekurang-kurangnya enam bulan dengan membenarkan kedua-dua aplikasi beroperasi secara serentak bagi memastikan penyesuaian yang lancar tanpa menjejaskan mereka.

Pada masa sama, ujarnya, hak pengguna mesti dilindungi melalui pelaksanaan mekanisme pemindahan baki kredit secara automatik agar tiada pihak yang mengalami kerugian.

Kerajaan Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) perlu tampil memberikan penjelasan rasmi yang jelas mengenai sebab pertukaran sistem, kelebihan aplikasi baharu serta jaminan terhadap keselamatan dan kemudahan pengguna, katanya.

Di samping itu, menurut Suraya, pertukaran aplikasi yang kerap turut menimbulkan persoalan berhubung kos pembangunan terlibat yang berpotensi menjadi pembaziran wang rakyat sekiranya tidak diurus dengan berhemah.

Sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab, ujarnya, Pejuang Johor mengemukakan beberapa cadangan konstruktif demi memastikan sistem parkir ini lebih adil, telus dan mesra rakyat.

Antaranya, kata beliau, melanjutkan tempoh peralihan sekurang-kurangnya enam bulan dengan membenarkan penggunaan kedua-dua aplikasi secara serentak.

Selain itu, katanya, pemindahan baki kredit perlu dilaksanakan secara automatik tanpa memerlukan permohonan yang menyusahkan pengguna.

“Pejuang Johor juga mencadangkan agar satu audit bebas dilaksanakan terhadap keseluruhan proses pelantikan dan pembangunan sistem aplikasi ini termasuk kos terlibat bagi memastikan tiada unsur pembaziran atau ketirisan,” katanya.

Pada masa sama, tambahnya, kerajaan negeri perlu mengutamakan pembangunan kapasiti dalaman pihak berkuasa tempatan supaya pengurusan sistem seperti itu dapat dikendalikan sendiri tanpa kebergantungan berlebihan kepada pihak swasta.

Suraya berpendapat, satu mekanisme maklum balas pengguna yang lebih sistematik perlu diwujudkan bagi membolehkan rakyat menyuarakan pandangan secara terus dan memastikan penambahbaikan dibuat secara berterusan.

“Kerajaan juga disaran mempertimbangkan pendekatan satu platform bersepadu (single platform) untuk semua sistem parkir di Johor bagi mengelakkan kekeliruan dan meningkatkan kecekapan,” katanya. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo