Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Hafez Sabri, berkata walaupun dasar itu mungkin bertujuan membanteras penyelewengan bahan api, pendekatan yang tidak holistik sehingga menyekat periuk nasi rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Apa yang sedang berlaku hari ini memperlihatkan beberapa langkah dangkal kerajaan dalam mendepani krisis tenaga global.
“Krisis ini membuka mata rakyat terhadap keutamaan sebenar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang suatu ketika dahulu menjadikan isu rakyat dan harga minyak sebagai tangga menuju Putrajaya, namun kini gagal menterjemahkannya dalam bentuk dasar yang melegakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menggesa kerajaan agar segera menggariskan langkah mitigasi yang lebih konkrit berasaskan kerangka ‘3M’ iaitu menyerap kejutan, melindungi rakyat dan memperkasa ekonomi negara.
Katanya, kerajaan perlu menyerap kejutan kos melalui mekanisme penstabilan harga yang lebih dinamik, termasuk pengurusan subsidi yang fleksibel serta pelepasan stok makanan dan rizab tenaga secara strategik.
“Selain itu, kerajaan juga perlu melindungi rakyat daripada tekanan kos melalui bantuan bersasar, insentif sokongan serta peranan aktif institusi kewangan seperti yang pernah dilaksanakan ketika pandemik COVID -19.
“Kerajaan juga perlu memperkasa daya tahan ekonomi domestik melalui pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan tenaga serta sokongan berterusan kepada PMKS,” katanya.
Beliau berkata, dalam masa sama, langkah menangani tekanan fiskal tidak boleh dilakukan dengan memindahkan beban kepada rakyat sama ada melalui pelarasan harga mahupun mekanisme silang subsidi yang tidak telus.
Dalam pada itu, katanya lagi, kenaikan berterusan harga diesel berisiko mencetuskan rebakan inflasi yang lebih luas, sekali gus menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat secara keseluruhan.
Tambah Hafez, sekiranya kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan terhad sehingga kerajaan sukar menyediakan lebih banyak inisiatif kepada rakyat, kerajaan perlu berterus terang mengenai realiti sebenar yang sedang dihadapi negara.
“Kejujuran sedemikian penting supaya seluruh rakyat dapat sama-sama memahami keadaan dan berganding bahu membantu negara keluar daripada krisis ini,” ujarnya.
Menurutnya, PAS turut menerima peningkatan aduan dan rungutan yang ketara melalui pusat khidmat, bilik gerakan serta pimpinan di seluruh negara, dan telah menyalurkan bantuan mengikut kemampuan sedia ada.
Justeru beliau berkata, sebagai salah satu ikhtiar membawa suara rakyat, DPPM berhasrat mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum serta membincangkan isu ini secara langsung.
Katanya, selain membawa suara rakyat, kunjungan itu juga bertujuan menyambut seruan PMX pada 4 April lalu yang membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk berbincang.
“Rakyat tidak boleh terus dijadikan benteng terakhir untuk menampung kelemahan dasar kerajaan.
“Kerajaan wajib tampil dengan penyelesaian yang adil, telus dan berkesan sebelum beban ini menjadi lebih parah dan menghimpit kehidupan rakyat terbanyak,” katanya.
Terdahulu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan telah melaksanakan penyelarasan semula subsidi bahan api, khususnya diesel, melalui pendekatan subsidi bersasar bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan lebih berfokus kepada kumpulan yang layak.
Langkah ini turut disertai dengan penguatkuasaan lebih ketat terhadap aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi yang sebelum ini dilaporkan menyebabkan kerugian besar kepada negara. – HARAKAHDAILY 13/4/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment