KUANTAN – Semua jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya segera meninggalkan pendekatan sebagai pembangkang dan beralih kepada cara kerja sebagai parti kerajaan dalam menghadapi fasa kritikal menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perubahan minda dan komunikasi perlu dilaksanakan selaras dengan kedudukan semasa parti.
“PKR hari ini bukan lagi pembangkang. Kita kerajaan. Jadi cara kita bekerja, berkempen dan berkomunikasi mesti berubah.
“Tidak cukup dengan ceramah dan media sosial sahaja. Kita perlu turun padang, bertemu rakyat dan membina kepercayaan dari akar umbi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.
Difahamkan beliau hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan dan sesi pasca mesyuarat cabang-cabang PKR negeri Pahang di daerah ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, keberkesanan gerak kerja parti bergantung kepada keupayaan jentera menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa, khususnya dalam aspek komunikasi dan penyampaian mesej.
Justeru, menurutnya, setiap peringkat perlu bergerak secara tersusun dan konsisten bagi memastikan hala tuju parti difahami dengan jelas oleh rakyat.
“Paling penting, jangan berpecah. Jika kita sendiri tidak kuat sebagai satu pasukan, rakyat tidak akan percaya kita boleh mengurus negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, tempoh menuju PRU16 merupakan fasa kritikal yang memerlukan komitmen lebih tinggi daripada semua pihak.
“Malam ini bukan sekadar pertemuan, tetapi peringatan bahawa masa semakin suntuk dan gerak kerja perlu digandakan,” katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment