Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, menyindir pelantikan Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dengan mencabarnya menunaikan janji lama untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dalam hantaran media sosial malam tadi, Puad menggesa bekas aktivis mahasiswa itu supaya bersuara lantang dalam mesyuarat pasca kabinet Kementerian Pendidikan Tinggi, sambil mempersoalkan sama ada idealisme reformasi Adam masih relevan selepas memegang kuasa.
“Tahniah Adam Adli dapat portfolio paling sesuai. Bolehlah hapuskan PTPTN,” tulis Puad.
“Tolong bersuara nyaring dalam mesyuarat pasca kabinet KPT. Baru nampak berbaloi tidur dalam khemah di Dataran Merdeka.”
Puad turut memetik kenyataan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, mengenai “ujian kuasa”, sambil memperlekeh dakwaan bahawa reformasi mudah dilaksanakan apabila berada dalam kerajaan.
“Jadi pembangkang memang mudah. Bila berkuasa baru tahu tinggi rendah langit,” katanya.
Adam sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh utama gerakan mahasiswa sekitar 2010-an yang lantang menuntut pendidikan percuma serta pemansuhan pinjaman PTPTN, yang menurutnya membebankan graduan sejak usia muda.
Beliau juga pernah mengecam cadangan untuk mengenakan semula larangan perjalanan ke atas peminjam PTPTN yang gagal membuat bayaran, serta mengkritik kepimpinan terdahulu tabung itu.
Adam dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, menggantikan Mustapha Sakmud yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri. Sebelum ini, Adam berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

No comments
Post a Comment